ArchBang : Khas Buat Pemula Arch Linux

Salam.

Anda pasti sudah pun berkenalan dengan Arch Linux pada entri yang lepas. Pada kali ini Mr.Hac membawakan pula ArchBang, sebuah distro terbitan dari Arch Linux.


ArchBang sebenarnya adalah Arch Linux, namun satu perkara yang pasti ialah ia tidak berpegang kepada falsafah The Arch Way. ArchBang ialah Arch Linux yang telah 'dipermudahkan' dengan adanya Openbox Window Manager, dan beberapa komponen penting lain sebagai tapak atau asas kepada sistem operasi, berbanding Arch Linux yang hampir 100% menyerahkan kepada pengguna untuk menentukan sendiri apa yang ingin mereka pasangkan.

Jika dilihat kembali apa yang sudah ada pada ArchBang, contohnya Openbox Window Manager/Desktop Environment, PCManFM, Aurora (Firefox versi pembangunan), dan beberapa contoh yang lain, ia merupakan komponen yang biasa atau wajib bagi penggemar Arch Linux setelah selesai pemasangan pada komputer. Jadi buat mereka yang berminat untuk memahirkan diri dengan Arch Linux, anda boleh memilih untuk mencuba ArchBang kerana antaramuka pengguna grafik telah tersedia dan ini memudahkan anda untuk mencari penyelesaian kepada masalah (Troubleshooting).

Sepertimana Arch Linux, ArchBang juga adalah sebuah distro yang menggunakan teknologi termaju untuk Linux atau istilah lainnya 'Bleeding Edge' distro. Berbanding Ubuntu, anda tidak perlu menambah PPA untuk memasang sesuatu perisian dan dapat memastikan versi terbaru perisian tersebut 'berada' dalam komputer anda setiap kali anda kemaskini, sebaliknya dengan Arch User Repository, perisian yang sudah terpasang akan sentiasa dikemaskini dengan versi terbaru, dengan syarat anda menjalankan kemaskinian sistem. Disebabkan itulah ia digelar 'Bleeding Edge' dan bukan 'Bleeding Flat'! Ianya stabil walaupun bersifat 'Bleeding Edge', kerana apa jua kelemahan (Vulnerability) pada sistem pasti akan dikemaskini dengan cepat.


Dan sepertimana juga Arch Linux, ArchBang bukan untuk pemula. Ia dibuat khas untuk 'pemula' bagi Arch Linux, yang berniat untuk berjinak-jinak dengan Arch Linux, dan 'pemula' untuk Arch pula adalah dari kalangan pertengahan sehinggalah kepada golongan mahir dalam Linux. Tidak rugi untuk anda mencuba dan terus pula menggunakannya, kerana selain cirinya yang bersifat menggunakan teknologi terkini, ia juga sangat 'ringan' dan pantas, serta menggunakan memori yang sedikit berbanding distro lain.

Jika anda sukakan Arch Linux, anda pasti akan sukakan ArchBang, kerana ia akan mengurangkan masa pemasangan, memudahkan anda mengkonfigurasi sistem, dan selepas semuanya selesai, anda boleh tukarkan (Convert) seluruh sistem ArchBang menjadi Arch Linux! Jangan lupa, ArchBang sebenarnya adalah Arch Linux, ia cuma 'lari' dari falsafah, tetapi seluruh sistemnya adalah Arch Linux.
Powered by Blogger.