Internet Black Out 14 Ogos Bantahan Terhadap Seksyen 114A Akta Keterangan 2012


Bagi yang tidak mengetahui akan pindaan tersebut, Seksyen 114A, berikut merupakan penerangan ringkas yang disediakan pihak CIJ Malaysia:
Seksyen 114A menganggap individu yang memiliki laman web atau peralatan komputer yang mengandungi bahan berunsur hasutan atau fitnah bersalah walaupun bahan itu dimuat naik oleh pihak lain. Individu atau organisasi yang mengendali atau menawarkan perkhidmatan kepada forum, blog,atau laman web juga bertanggungjawab terhadap segala kandungan yang terdapat pada perkhidmatan tersebut. Para pengguna internet yang akaun atau komputernya digodam (hack) juga akan dipertanggungjawabkan ke atas bahan yang dimuat naik oleh penggodam (hacker). Seksyen 114A ini mengancam kebebasan bersuara di Internet dan menggugat prinsip asas keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.
Melalui Internet Blackout Day tersebut kelak, CIJ mensasarkan untuk para pembangun web memaparkan pop-up pada laman web mereka selama lebih kurang 24 jam pada 14 Ogos kelak, untuk mendidik para pengguna, dan bukannya lebih kepada menutup terus halaman web seperti yang dilakukan oleh Wikipedia baru-baru ini.

Pindaan terbaru ini meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak yang dituduh dan bukannya pihak yang menuduh.

Sebagai contoh, jika seseorang menyamar sebagai anda dan melakukan kesalahan di internet, andalah yang bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa anda tidak bersalah.

Undang-undang yang baru ini jelas bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya.
Pindaan yang baru ini boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada seluruh pengguna internet dan pihak yang terlibat dalam industri tersebut.

Jika anda memiliki akaun Facebook, Twitter, blog atau forum, anda akan dipertanggungjawabkan atas setiap isi kandungan yang terdapat di laman-laman tersebut termasuk komen dan artikel yang ditulis oleh pihak lain.

Selain itu, pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan jika ada pihak yang menyalahgunakan perkhidmatan tersebut. Lebih malang lagi, jika rangkaian wifi rumah anda dicuri atau dihack, anda juga bertanggungjawab atas segala yang dilakukan oleh pencuri terbabit.

Jika ada pihak yang mencipta akaun Facebook, Twitter atau emel menggunakan nama anda, Seksyen 114a yang baru ini menganggap bahawa andalah pemilik sebenar akaun terbabit.

Akta yang baru dipinda ini sebenarnya bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat daripada mengemukakan pendapat mereka di internet. Hal ini juga mengancam kebebasan berinternet di negara kita.

Kebebasan bersuara serta kebolehan menyatakan pendapat merupakan tunjang sebuah demokrasi yang berfungsi dan berinovasi.

Seksyen 114a Akta Keterangan ini jelas bercanggah dengan konsep hak asasi manusia dan aspirasi ekonomi negara berasaskan ilmu.

Jika anda fikir pindaan terbaru terhadap akta ini perlu dihapuskan, marilah bersama kita mendesak Kerajaan supaya menarik semula pindaan tersebut. Sertai Hari Internet Blackout 14 Ogos 2012!



Sumber
Powered by Blogger.