Kelebihan dan Kekurangan Sekatan Internet

Sebelum apa-apa, muat turun dahulu (kalau masih belum) e-buku Anonymous Surfing : Klik

Al-kisah, Malaysia telah melaksanakan sekatan internet terhadap beberapa laman web perkongsian fail (yang sebahagian darinya memang dah 'bungkus'). Antaranya Megaupload, Megavideo, Putlocker, Fileserve dan lain-lain lagi. Tujuannya? Untuk menghalang aktiviti penyebaran fail yang tidak sah di sisi Undang-undang atau melanggar Hak Cipta pemilik asal.

Sekatan internet sebenarnya bukanlah perkara baru. Malaysia juga bukan negara pertama yang menjalankannya. Sebelum ini, negara China telah terlebih dahulu mengenakan sekatan internet yang amat dahsyat kepada rakyatnya sehinggakan laman enjin carian Google juga tidak dapat dibuka! Sekatan ini terkenal dengan gelaran The Great Firewall of China. Serius, sekatan ini memang saya tidak faham tujuannya!


Di pejabat-pejabat kerajaan, sekatan lebih dikenakan kepada laman-laman sosial seperti Faebook, dan juga laman penstriman video seperti Youtube. Bagusnya, ia memang membantu produktiviti. Tetapi... bagi saya lebih banyak buruk dari baiknya.


Baiklah, mari kita lihat dan bincangkan sedikit-sebanyak mengenai kelebihan dan kekurangan sekatan internet. Semoga dengan terbitnya entri ini, dapatlah ia membuka mata orang-orang 'di atas' sana supaya kembali berfikir demi kepentingan dan faedah semua orang.


Mari kita buka perspektif, dari sudut jenis laman web yang disekat. Laman yang patut dikenakan sekatan, sudah semestinya laman-laman web lucah, judi, keganasan, penyebaran agama selain Islam, dan juga laman berbentuk penipuan. Apa yang berlaku di negara kita ini, laman-laman perkongsian fail 'ditutup' dari dilawati oleh pengguna internet. Untuk pengguna baru (newbie), apa yang bagusnya ialah ia membantu mereka dari tertipu dengan fail-fail yang mengandungi virus atau keylogger, RAT dan apa-apa fail yang menunggu masa untuk dijalankan (execute) oleh penggodam. Bagi para karyawan, sekatan ini membantu mereka dalam menghasilkan karya bermutu, dan para peminat membeli produk asli dari kedai muzik dan video. Iya ke?

Bagaimana pula dari perspektif pengguna pakar (power user)? Sekatan seperti ini:

1. Tidak membawa apa-apa kesan kepada mereka kerana mereka pasti mencari 'jalan belakang'.

2. Pengguna muda remaja dengan darah muda, sudah pasti akan memberontak. Buktinya lihat saja kepada aktiviti penggodaman yang dilakukan oleh krew-krew penggodam selepas sekatan dijalankan. Gempak dan gegar satu negara dibuatnya, apabila sekatan ini ditentang dengan keras dalam dunia maya. YA, mereka memang tidak menang apa-apa, tetapi jangan lupa tangan merekalah yang akan mengundi anda suatu hari nanti. Bukan janji tapi pasti.

Sekatan ini bukan sahaja menyebabkan kacau-bilau dalam dunia internet, tetapi bakal melahirkan penggodam-penggodam baru di kemudian hari. Tidak percaya? Begini carta alirnya:

Apabila sekatan internet dijalankan, kebanyakan pengguna baru berasa tertekan dengannya. Ini mengakibatkan mereka juga berusaha dengan sesungguh hati mencari 'jalan belakang' untuk keluar dari kebuntuan masalah. Ya, sekatan bukan satu perkara yang menyeronokkan! Setelah puas mencari dan jumpa pula dengan jalan belakang tersebut, adakah mereka akan berhenti di situ sahaja? Tentu tidak. Pasti selepas itu mereka akan mencari pula jalan belakang B, jalan belakang C, dan juga Jalan Haji Taib. Err.. ke lorong?

Jadi bagaimanakah penyelesaian relevan?

Saya memandang perkara ini perlukan waktu yang panjang untuk diselesaikan, bukan dengan mengenakan sekatan dan Undang-Undang yang dirangka secara tidak tentu hala. sebagai langkah pertama, daripada kita kenakan sekatan, adalah lebih baik untuk kita:

1. Mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai betapa pentingnya membeli produk asli secara berperingkat. Saya faham, sukar untuk kita galakkan orang kita membeli produk asli, terutamanya mudah pada zaman ini untuk muat turun lagu-lagu dan album penuh secara percuma. Tetapi saya sendiri, selepas berpuas hati dengan lagu-lagu yang telah didengari sesudah selesai memainkannya, saya akan pergi ke kedai muzik berhampiran dan membeli album asli, hanya dengan satu tujuan, kerana saya sukakan muzik dan bunyi yang asli dari CD! Bagaimana nak menggalakkan 'tabiat' seperti ini? Satu saja caranya, kurangkan harga! (boleh atau tidak bukan terletak di tangan saya).

2. Mewujudkan kesedaran dan juga penyebaran maklumat ilmiah berkenaan virus, keylogger, RAT, ancaman penggodam serta kaedah-kaedah asasnya seperti Phishing, Tab Nabbing dan sebagainya. Ini lebih baik dari kita 'buta-buta' mengenakan sekatan, kerana setiap sekatan itu pasti lebih menggalakkan pengguna akhir ini untuk mencari jalan keluar. Mereka bukan peduli dengan virus, asal saja dapat muat turun dari laman yang disekat!

3. Menyediakan infrastruktur IT di mana-mana, seperti kemudahan WiFi berkelajuan tinggi percuma (seperti di negara Korea). Ini penting, supaya rakyat terbiasa dengan 'suasana IT', dan tidak janggal menggunakan komputer serta gajet. Saya berasa sedikit terkilan, kerana ada juga sesetengah dari sahabat-sahabat saya yang masih lagi buat IT. Dalam erti kata lain, kalau ada perkara yang mereka pandai sekalipun, cuma buka Internet Explorer dan Microsoft Word. Buka yang lain, hancur! Saya faham juga, kerajaan perlu berbelanja besar untuk perkara ini, tetapi kalau dilaksanakan secara berperingkat dan perlahan-lahan, bagus juga bukan?

Bagaimana pula dengan pendapat anda? Minta dilontarkan sahaja semua pendapat, agar dapat sama-sama kita fikirkan apa yang baik untuk anak watan.
Powered by Blogger.