Teknologi : Zaman Dulu dan Zaman Sekarang

Bercakap tentang teknologi, kita tidak lari dari evolusi atau perubahan. Kadangkala perubahan itu boleh jadi satu perkara yang sangat menarik, dan adakalanya perubahan itu boleh menjadi igauan ngeri. Kerana apa? Kerana perubahan teknologi tidak seperti dulu lagi. Ambil contoh telefon bimbit pintar. Hari ini dilancarkan model baru yang canggih, esok lusa pesaing pula melancarkan model baru dengan ciri yang dipertingkatkan.

Hendak diikut atau diekori rapat, rasanya seperti tidak kena kerana semua bersangkut-paut dengan duit. Tidak diikut juga rasa tidak kena kerana bukan takut digelar ketinggalan zaman, cuma takut tidak faham apa lagi yang bakal berubah di masa akan datang. Apapun bersempena dengan bulan Syawal ini, saya masih lagi belum mahu mengepos artikel yang 'berat' untuk tatapan anda, jadi mari kita singkap artikel santai ini untuk santapan minda kita bersama.

Teknologi : Zaman Dulu dan Zaman Sekarang (Akan Datang?)

Saya dapat ilham untuk artikel ini pun dari Majalah Gila-Gila, sebuah majalah komik satira humor nasional yang memang sangat 'lama', sangat old-school dan ia sahaja yang masih tidak berubah dari segi reka bentuk mahupun isi kandungan. Hmm..

Pernahkah anda mendengar cerita dari Harith Iskandar mengenai televisyen zaman dulu? Pada sekitar tahun..... err, tahun beliau masih kecil (senang cerita), televisyen pada waktu itu rasanya kalau di bawa ke zaman ini, anak-anak kita tidak mampu meneruskan kelangsungan hidup walaupun untuk sehari! Haha! Televisyen itu hanya mempunyai 2 saluran, walaupun dial yang ada padanya terdapat 9 nombor yang boleh diubah-ubah secara manual, secara fizikal. Sebut mengenai dial, ia berbentuk rotary, pusing ke kanan dan ke kiri, serta tidak mempunyai alat kawalan jauh!

Televisyen zaman sekarang? Selain saluran percuma yang boleh dinikmati bila-bila masa, pengguna disajikan dengan pelbagai saluran dari Astro. Tak puas hati dengan drama Melayu dari TV1, anda boleh tukar saluran dengan alat kawalan jauh kepada TV2, TV3, TV Al-Hijrah, NTV7, TV8, TV9 bla bla bla. No sweat, no regret. Itupun setelah puas menukar berpuluh-puluh saluran sehingga pusing semula ke TV1, masih lagi kita merungut dengan perkataan yang dipopularkan oleh Harith Iskandar sendiri, iaitu "Got nothing on la!".

Itu belum kita sembang lagi pasal saiznya. Televisyen zaman ini memang besar, tetapi besar dari segi saiz skrinnya. Kalau dilihat dari sisi, ia nipis, dan boleh di bawa masuk ke dalam kereta dengan mudah. Zaman dulu jangan cerita la. Selain perlu menumpang tonton di rumah orang (kerana harganya mahal untuk dimiliki), televisyen dulu-dulu macam kabinet, perlu buka dulu 'pintu' kabinetnya baru dapat lihat skrin. Seronok juga zaman itu apabila tumpang tonton gusti atau filem Hindustan! Haha! Nostalgia, nostalgia!

Dulu telefon bimbit digelarkan dengan nama telefot bimbit kerana ia perlu dibimbit! Saiznya yang 'bagak' (besar) memang menjadi bahan jenaka kalau masih digunakan pada zaman ini. Kalau anda perasan trend sekarang, telefon bimbit pintar juga sudah mula kembali mendapat saiz yang agak besar untuk digenggam seperti Samsung Galaxy Note, tetapi masih munasabah untuk dibawa ke mana-mana dan masih boleh dimasukkan ke dalam poket seluar.



Dulu kanak-kanak bermain galah panjang, konda-kondi, 'target' kasut, layang-layang, congkak, dan lain-lain lagi. Zaman sekarang kanak-kanak disajikan dengan PS3, Xbox, PSP, permainan di telefon bimbit pintar. Tak keluar peluh langsung pun! Cuma perlu duduk diam-diam di tempat masing-masing sambil cuba sedaya-upaya habiskan 'level' yang ada.

Masih ingat lagi dengan pemain pita VHS? Anda rasa itu 'old-school'? Bagaimana pula dengan piring hitam? Mari bandingkan pemain pita dengan teknologi pemain media definisi tinggi penuh, berjenama Western Digital (wow..), dan bandingkan piring hitam dengan pemain mp3 yang terdapat dalam telefon bimbit pintar anda! Jauh beza fungsi, rupa, serta saiznya bukan?

Sebut pasal Syawal, ini adalah bulan 'Hari Raya' untuk semua umat Islam. Di Malaysia ini zaman dulu kita cuba mengingati sahabat taulan dengan kad raya. Tak cukup dengan itu siap ada lagu lagi apabila ia dibuka. Zaman ini sudah pusing 360 darjah apabila SMS sahaja yang dihantar buat pengganti. Selain jimat duit minyak untuk hantar had raya ke post box berhampiran, jimat juga duit stem, kos kad raya, kos sampul. Tak cukup lagi dengan sms yang sangat memudahkan, Twitter pun berfungsi sama. Sikit-sikit Tweet, sikit-sikit Tweet. Belum kira pos yang ada di Wall Facebook. Urghhh..

Ketika saya kecil (tak kecil sangat, tingkatan 1-3 lebih kurang), saya sudah mula menggemari dunia muzik. Maka berjalan kakilah saya ke pasar malam mencari earphone yang murah dengan harga RM2 sahaja. Bunyinya orang kata untuk budak tingkatan 3 kira 'ok-lah'. Sekarang saya sudah hampir tidak percaya apabila earphone yang saya beli sudah berharga lebih dari RM200, dan ada antara koleksi yang sudah mencecah lebih dari ribuan ringgit dengan jenama Beats By Dr.Dre. Serius, macam tak percaya saya akan lalui zaman ini. Bagi yang 'kaki' muzik macam saya, tidak ralat wang yang dikeluarkan untuk kualiti.

Ada lagi yang saya masih belum tulis? Itulah gunanya ruang komen! Jom tambah kenangan zaman silam anda, atau apa-apa yang anda teringat tentang teknologi zaman dulu-kala dan bandingkan pula dengan zaman sekarang!

Mr.Hac: Soalnya bersediakah kita untuk teknologi di masa akan datang?
Powered by Blogger.