Ubuntu 13.04: 'Wow' atau 'Mehhh...'?

Salam.

Setelah beberapa minggu 'meninggalkan' dunia blogging, saya berasa terpanggil untuk berkongsi sedikit pandangan mengenai rilisan terbaru sistem operasi Linux paling popular di muka bumi ini iaitu Ubuntu 13.04.

Mungkin saya agak lambat dalam hal ini, namun saya gagahkan juga jari-jemari ini untuk terus menaip kerana apa yang terbuku dalam minda tak mampu lagi dibiarkan begitu saja.

Ubuntu 13.04: Hebat atau Membosankan?

Ini adalah persoalan pokok bagi mereka yang sedang berada dipersimpangan, tak tahu 'arah mana hendak dituju'. Masalah dengan distribusi Linux bukan terletak kepada 'betapa sukarnya ia untuk diguna', tetapi adalah terletak kepada distribusi dan terbitan-terbitan dari distribusi tersebut.

Apabila terlalu banyak pilihan, maka perkara yang sukar bukan lagi kaedah penggunaannya, tetapi adalah pada apakah pilihan yang harus dilakukan. Maka disitu Ubuntu 13.04 tersepit, hendak diguna atau tidak, hendak diuji cuba atau abaikan saja.

Setelah beberapa lama saya 'bermain' dengan live USB, saya dapat rasakan Ubuntu 13.04 adalah...

Ubuntu 13.04: Satu Sebab Untuk Menyintai Menyukai dan Membenci

Sebab Untuk Menyukai (Pro):

Ubuntu 13.04 adalah sangat cantik dan kemas. Seperti kata pepatah Inggeris, 'Beauty is in the eyes of the beholder', maka terpulang bagaimana cara mata anda menafsirkannya, namun saya sangat sukakan paparan Ubuntu 13.04. Hasil akhir kali ini tidak menghampakan.


Tak lupa juga aplikasi Unity Tweak Tool boleh dipasang secara terus melalui Ubuntu Software Center. Ini membolehkan pengguna termaju (advance user) untuk melakukan konfigurasi terhadap persekitaran desktop Unity.

 

Sebab Untuk Membenci (Kontra):

Malangnya tidak semua yang cantik itu membahagiakan. Kalau anda suka dengan versi 12.04, iaitu versi LTS, dan selesa dengannya, maka saya sarankan anda kekal dengan sistem operasi tersebut.

Ini adalah kerana Ubuntu 13.04 sememangnya cantik di mata, namun di hati belum tentu. Hati saya boleh kata 'berbulu' sepanjang saya menguji cubanya disebabkan bugs yang menjengkelkan. Ada masa animasi transition tetingkap tersekat, seperti gambar di bawah:



Berkenaan dengan prestasi, mulanya saya hanya mencuba ia pada PC yang dilengkapi dengan RAM sebanyak 512MB dan juga 1GB. Ternyata Ubuntu bukan lagi Ubuntu 'yang dulu', iaitu yang dicipta untuk melengkapi PC-PC lama. Kini ia mengorak langkah menuju ke arah sistem operasi moden yang juga memerlukan peranti moden, dengan spesifikasi terbaik.

Buktinya? Saya telah pun menguji cuba ia pada Laptop Lenovo G480, dengan RAM sebanyak 6GB dan pemproses Intel® Core™ i5-3210M, namun masalah animasi transition 'minimize' tetingkap yang tersekat masih lagi berlaku. Ia seolah 'hang' tanpa punca munasabah.

Pasang atau Tidak?

Nampaknya tidak ada jalan mudah mendapatkan kebahagiaan. Saya teringat kata pepatah, 'Di saat kamu mahu melepaskan sesuatu, ingatlah disaat-saat sukar ketika kamu hendak mendapatkannya!'. Begitulah jua ibaratnya hubungan saya dengan Arch Linux!

Saat permulaan untuk memasang, mengkonfigurasi dan menyiapkan persekitaran desktop Arch Linux bukan kerja mudah, seperti mudahnya menyiapkan konfigurasi distribusi Ubuntu. Tetapi untuk 'melepaskan' ia pergi demi sesuatu kecantikan yang baru, bukan juga kerja mudah! Arch Linux sangat memuaskan hati, sama ada dari segi pengubahsuaian mengikut kehendak sendiri (cuztomization) mahupun dari segi prestasi, masih tidak ada sebab untuk saya beralih kepada distribusi lain.

Selagi Ubuntu belum perbaiki bugs, belum menambah kelancaran prestasi dan juga belum membenarkan para pengguna untuk mengubahsuai ia ke tahap maksimum, maka selagi itulah saya belum berminat untuk kembali menggunakannya.

Jadi jawapan saya, hmmm.. mehhh...

Powered by Blogger.