Steganografi Pada Ubuntu: Sembunyikan Dokumen Dalam Gambar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Apa khabar anda semua? Harap anda sihat sejahtera. Artikel kali ini saya akan bawakan kepada anda kaedah menyembunyikan sebarang fail atau dokumen dalam gambar.

Sebelum itu saudara Arya Putra telah menerangkan tentang apa itu steganografi dan kaedah pembuatannya pada sistem pengoperasian Windows. Anda boleh membacanya pada pautan Apa Itu Steganography dan Cara Melakukannya? Seperti yang tertera pada tajuk artikel,saya akan bawakan  kaedah pembuatan untuk sistem pengoperasian Linux iaitu Ubuntu. Usah membazir masa,mari kita fokus kepada pembelajaran kita hari ini.


Langkah-langkah seni steganografi pada Ubuntu.

1. Buat sebuah folder dengan sebarang nama. Untuk tutorial ini saya menggunakan nama 'Achchobaan' (kaedah sebutan sama seperti filem Pendekar Bujang Lapok)

2. Untuk memudahkan tugasan letakkan folder tersebut (Achchobaan) pada folder Desktop.

3. Untuk tutorial ini saya menggunakan fail gambar dengan nama Fikir.jpg dan fail yang ingin disembunyi dengan nama Windows_Loader.zip

4. Perlu diingat bahawa sekiranya anda menggunakan dua atau lebih nama pada sesuatu fail letakkan aksara garis bawah (underscore) (_) diantara jarak atau dengan bahasa mudahnya gantikan sahaja jarak antara nama dengan aksara garis bawah. Rujuk gambar di bawah.

5. Fail atau dokumen yang anda ingin sembunyikan mestilah berformat (.zip). Kebiasaannya sistem pengoperasian Linux khusus Ubuntu atau sistem pengoperasian yang berasaskan Ubuntu telah terpasang perisian Archive dan sedia terhubung pada setiap klik-kanan. Maaf,susah nak terangkan. Rujuk sahaja gambar. Sekiranya tiada,anda boleh memasang Compress... Rujuk artikel Bagaimana Untuk 'Compress' Fail Pada Sistem Operasi Ubuntu.

6. Sesudah anda 'compress' dokumen anda kepada format (.zip) maka bermulalah seni steganografi pada sistem pengoperasian Ubuntu.

7. Buka aplikasi Terminal.

8. Akses ke folder (Achchobaan) dimana anda menyimpan fail yang ingin disembunyikan dengan baris perintah di bawah.
cd Desktop/Achchobaan 

9. Kemudian taip ls untuk menyenaraikan semua fail yang terkandung dalam folder Achchobaan.

10. Taip cat diikuti nama berserta format gambar dan fail yang ingin disembunyikan. Jangan lupa untuk meletakkan aksara (>) diikuti dengan nama baru berserta format bagi gambar tersebut. Dalam situasi ini saya menggunakan Fikirkan.jpg. Tekan Enter.
cat Fikir.jpg Windows_Loader.zip > Fikirkan.jpg 

11. Anda boleh buang semua fail dan dokumen lama yang tidak diperlukan. Tinggalkan fail gambar yang didalamnya tersembunyi dokumen anda. Apabila anda klik 'Properties' anda akan lihat fail gambar tadi berubah saiz.

12. Untuk sari (extract) fail gambar tersebut. Anda boleh menggunakan baris perintah. unzip diikuti nama gambar berserta format. Jika tidak boleh,gunakan baris perintah unzip -t Fikirkan.jpg
unzip Fikirkan.jpg

13. Saya belum mencuba untuk sari fail gambar Fikirkan.jpg pada sistem pengoperasian Windows. Adakah cara yang terdapat pada artikel saudara Arya Putra boleh digunakan? Mohon maklum balas daripada anda di ruangan komen.

14. Adakah kaedah ini dapat digunakan untuk membendung laman web storan maya MediaFire.com daripada membuang fail secara membabi buta? Sama-sama kita nantikan. Mohon jangan buat aduan kepada pihak MediaFire,kelak akan binasa kita juga yang tidak dapat hasilnya. (Tak sangka setelah sekian lama tidak mengunjungi laman MediaFire,rupanya MediaFire sudah memiliki perisian untuk Ubuntu dan Fedora.)

Klik [di sini - 1.60MB] untuk memuat turun fail Fikirkan.jpg merangkap dokumen Windows Loader.

Sebarang kemusykilan atau ketidakpastian dapatlah diterjemah pada ruangan komen di bawah.

Sumber:-

Steganography - Hide Your Files Inside An Image In Linux - Unixmen


Selamat mencuba.
Assalamualaikum.
Powered by Blogger.