DropInOne: Uruskan Pelbagai Storan Awan Dalam Satu Platform

Zaman kita ini, storan awan menjadi satu keperluan sejagat. Cuba bayangkan jika dunia tanpa kemudahan yang satu ini, laratkah diri untuk mengusung External Hard Drive ke mana saja kita pergi? Kalau yang tersimpan itu fail seperti ISO sistem operasi, masih munasabah juga. Tapi kalau sekadar gambar, mp3, dan fail-fail 'kecil' yang lain, mungkin kita perlukan alternatif seperti ini.

Kerana itu juga saya pernah 'bising' dengan isu plan internet fiber optik/plan data mobil di Malaysia yang masih terlalu mahal serta agak 'mengelirukan' berbanding negara-negara lain. Bukan hendak kritik membuta-tuli, tetapi ambil contoh satu operator di Malaysia ini yang mengenakan cas berlainan untuk setiap plan. Plan panggilan + SMS = lain bayaran, plan data mobil = lain juga. Gabungan antara keduanya boleh bikin Pak Ngah di kampung pengsan dek terlalu cekik darah jumlahnya.

Perkara ini saling bersangkut-paut antara satu sama lain. Apabila kita perlukan kepada storan bergerak, iaitu storan awan, bererti kita perlukan kepada internet. Oleh kerana itu saya menyeru kepada para penyedia servis internet dan juga operator telefon di Malaysia, silalah buat plan baharu yang lebih mesra poket pengguna. Ingat, kuasa di tangan pengguna dan bukan semua pengguna kaya-raya seperti anda!

Berbalik kepada storan awan, kebanyakan dari kita menggunakan lebih dari satu akaun. Selain menjimatkan kos, kita juga dapat menikmati pelbagai faedah dari pelbagai servis storan awan di luar internet sana.

Oleh itu apa yang lebih bermakna dari kemudahan untuk menguruskan kesemua storan awan ini dalam satu akaun sahaja, tidak begitu? DropInOne merupakan satu perkhidmatan percuma yang menawarkan kemudahan menyelia akaun-akaun storan awan dalam satu platform. Antara storan awan yang disokong ialah Box.com, Dropbox, Google Drive, Skydrive, Sugarsync dan juga AmazonS3.


Servis ini sama seperti CloudKafe. Meskipun senarai sokongannya tidak sebanyak CloudKafe, namun untuk servis yang baru saja memulakan langkahnya, saya kira ia agak bagus dan boleh diperbaiki lagi.

Apa yang saya harapkan ialah ia bakal mempunyai aplikasi untuk sistem Android, iOS dan juga Windows Phone supaya lebih mudah untuk pengguna menguruskan segalanya dihujung jari saja!

Jadi kudos untuk DropInOne! Semoga lebih berjaya di masa hadapan!
Powered by Blogger.