Bina Blog Dot Com Sendiri: Baru dan Sempurna

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Terpanggil diri ini untuk menyediakan sebuah makalah untuk dihadam oleh anda sidang pengunjung sekali gus merangkap pembaca setia blog OMG! Hackers? sekalian. Jarang sekali saya menulis artikel berbentuk ulasan mengenai blog. Jika saya menulis,maka saya rasakan bahawa blog tersebut penting untuk saya dan untuk anda juga. Jadi,artikel ini saya hidangkan kepada anda untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya.


Bina Blog Dot Com Sendiri, saya rasakan anda sudah memahami apakah yang tersembunyi di sebalik namanya yang tersendiri. Jika anda seorang blogger baharu atau anda ingin menjinakkan diri anda untuk menjadi seorang penulis alam maya maka laman ini perlu anda kunjungi. Selaku pentadbir yang juga merangkap penulis di laman ini, Zulhilmi Zainudin banyak mendedahkan kepada umum tentang blog dan apakah yang tersirat di sebalik sesebuah blog yang mesti diketahui dan dipelajari oleh pengguna baharu sebelum memulakan aktiviti menulis di alam maya ini. Melihat pada ruangan arkib laman, saya dapati bahawa laman ini masih baru dalam industri blog dan laman web. Meskipun begitu,saya tidak merasakan saudara Zulhilmi Zainudin seorang blogger yang baru memandangkan kekemasan dan kematangan dalam pengurusan blog beliau sungguh menakjubkan.

Tidak dapat disangkal lagi dengan ledakan era teknologi maklumat dan komunikasi yang giat membangun, maka tercetuslah laman-laman web yang menyediakan maklumat secara terus tanpa sebarang halangan. Ini akan menaikkan semangat rakyat Malaysia agar lebih bersifat terbuka dalam melontarkan pendapat, berkongsi maklumat dan mentarbiah diri untuk menjadi seorang warganegara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Lebih menarik apabila laman-laman tersebut merupakan laman yang menyediakan artikel berkisar inovasi dan teknologi maklumat.

Seiring dengan hasrat kerajaan untuk "Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris", kehadiran laman-laman seperti ini sedikit sebanyak membantu dalam mencapai hasrat murni kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dipersada antarabangsa. Menjelang tahun 2020, kemajuan dalam sektor ini akan lebih terjamin dek sikap rakyat yang yang lebih terbuka dalam menerima sesuatu inovasi yang dibawakan oleh sesebuah organisasi, kerajaan mahupun persendirian.

Maafkan saya kerana agak keterlaluan dalam merangka penulisan sehingga terlupa dengan tujuan utama artikel ini. Jadi, Bina Blog Dot Com Sendiri melalui laman utama mereka menyediakan akses kepada anda untuk mencuba kursus membina blog berasaskan WordPress. Melalui halaman blog Bina Blog Dot Com Sendiri, mereka ada menyediakan artikel panduan dan info tentang pengurusan platform WordPress dalam segenap aspek seperti keselamatan, pemasaran, SEO dan pelbagai lagi makalah yang padat dengan pengetahuan yang perlu anda hadam dalam pemikiran dan hati.

Saya sudah selesaikan aspek 'baru' dalam artikel ini sejak permulaan penulisan lagi. Tapi, apakah aspek 'sempurna' yang dimaksudkan oleh saya? Aspek sempurna boleh diterjemah daripada kekemasan antara muka laman web Bina Blog Dot Com Sendiri namun apa yang akan digambarkan oleh saya tentang aspek sempurna ialah sedikit berbeza. Aspek sempurna yang saya maksudkan ialah lahir dari diri saudara Zulhilmi Zainudin sendiri. Saya telah berhubung dengan beliau melalui pelbagai medium seperti e-mel, laman interaksi Facebook dan melalui blog beliau sendiri. Beliau telah melayan kerenah saya dengan ramah. Sifat ini jarang hadir dalam diri blogger termasuklah saya. Saya akan cuba menutup lubang-lubang kelemahan dalam diri saya agar tidak tertiris lalu menyebabkan anda menerima bahana daripada kesilapan saya sendiri. Tapi,kadangkala sikap kurang peramah ini perlu juga untuk mendidik rakyat agar membuang penyakit 'M'. Penyakit 'M' ini tiada ubatnya melainkan tuan empunya badan mengubatinya. Perlahan-lahan nelayan mendayung akhirnya sampai juga ke tepi laut.

Semoga artikel ini membantu anda dalam mentarbiah diri untuk menjadi insan yang gemar akan pengetahuan khusus dalam bidang penulisan menggunakan plaform blog WordPress

Assalamualaikum.

Powered by Blogger.