Pemecah Mitos: Android Task Manager?

Salam.

Sebuah topik yang enggan 'pupus'. Situasi: Seringkali para pengguna telefon bimbit pintar yang dikuasakan dengan sistem operasi Android diberitahu (kebiasaannya oleh pekedai mahupun rakan) bahawa ia perlukan kepada satu aplikasi yang dipanggil sebagai 'Task Killer'.

Apa Itu Android Task Killer?

Android Task Killer ialah satu aplikasi yang (kadangkala boleh secara automatik) memaksa aplikasi lain untuk dihentikan, dengan tujuan membebaskan penggunaan memori (RAM). Ia dicipta sedemikian rupa dengan harapan:

1. Prestasi peranti Android akan lebih baik/meningkat.

2. Jangkat hayat bateri lebih baik - Hipotesisnya semakin kurang penggunaan RAM/CPU, semakin kurang penggunaan bateri.


Kaedah Android Memproses Tugas/Aplikasi:

Dalam sistem operasi Android, proses dan aplikasi adalah dua perkara berbeza. Satu aplikasi boleh berfungsi dan 'kekal di belakang tabir' tanpa melakukan apa-apa tugas atau proses dan tersimpan dalam memori. Android menyimpan aplikasi tersebut dengan cara itu supaya ia dapat dilancarkan dengan lebih pantas dan kembali kepada keadaan asal ketika anda 'meninggalkannya'. Apabila mula kekurangan memori yang diperlukan, Android akan mula memadam/menutup satu demi satu aplikasi yang sedang berjalan di belakang tabir, bermula dengan aplikasi yang telah lama anda tidak gunakan.

Perkara utama yang perlu difahami ialah cara Android menggunakan RAM adalah berbeza dengan sistem operasi peranti yang lain. Salah faham wujud apabila pengguna melihat semakin banyak RAM yang digunakan, maka prestasi semakin menurun sedangkan hal yang berlaku pula adalah sebaliknya.

Memilih untuk menggunakan Task Manager bagi mematikan proses aplikasi yang sedang berjalan di belakang tabir sebenarnya bercanggah dengan sistem Android itu sendiri. Bukanlah dikatakan sistem Android itu sudah cukup sempurna untuk Multitasking, tetapi Task Manager adalah tidak diperlukan, kerana sebaik sahaja ia mematikan proses, boleh jadi aplikasi yang dimatikan tersebut akan kembali bergerak di belakang tabir serta-merta, dan ini meningkatkan penggunaan CPU lalu membawa kepada kesan penggunaan jangka hayat bateri.


Apa yang perlu anda lakukan sebaiknya, bagi meningkatkan prestasi serta jangka hayat bateri seharian ialah:

1. Cari aplikasi yang menggunakan CPU anda tanpa sebab munasabah. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan pelbagai aplikasi seperti GSAM, BetterBatteryStats atau Wakelock Detector. Apabila anda dapat mengesan aplikasi seperti ini, anda boleh pilih untuk sama ada nyahpasang, anda bekukan ia (Freeze) dengan menggunakan akses root, sehinggalah aplikasi itu dikemaskini (baik pulih bugs yang menggunakan CPU mungkin?).

2. Kurangkan aplikasi percuma yang menyokong pengiklanan.

3. Jika anda pengguna termaju (Advance User), root peranti Android anda dan pasangkan aplikasi seperti AdAway atau AdFree. Ini dapat menyekat pengiklanan yang tidak bagus untuk anda dan juga peranti anda khasnya.

4. Matikan proses-proses yang anda (sedang) tidak menggunakannya seperti Wi-Fi, GPS, Mobile Data, Bluetooth, skrin dan lain-lain.

5. Gunakan aplikasi secara bijak. Tutup ia apabila tidak lagi digunakan (sentiasa gunakan back button!) dan untuk kembalik kepada aplikasi tersebut dengan lebih pantas, gunakan butang Recent Apps untuk multitasking yang lebih berkesan!

Android bukan Windows, dan bukan iOS. Jadi apa juga yang anda lakukan, sentiasa ingat jangan samakan kaedah sistem ini berfungsi sama dengan yang lainnya. Android tidak perlukan Task Manager/Task Killer, dan ia juga tidak berfungsi dengan baik bersama dengan aplikasi yang telah di-kod secara kurang sempurna, bahkan juga yang banyak pula pengiklanannya.

Benar pengiklanan membantu Pembangun Aplikasi, tetapi biarlah iklan yang berhemah, bukan yang memaksa pengguna seperti Push Ads Service. Inilah antara penyebab utama penurunan prestasi dan juga jangka hayat bateri peranti Android anda. Fikir-fikirkan!
Powered by Blogger.