Bagaimana Menangani Masalah Kesesakan Internet?

Berikut merupakan cadangan dari saya, selaku seorang pengguna internet.

Bagaimana menangani masalah kesesakan internet?

Setiap tahun, kapasiti pengguna internet tidak pernah berkurangan, malah bertambah dari semasa ke semasa. Arus trafik internet boleh diibaratkan dengan arus trafik di jalanraya. Ada yang membawa kereta kecil, ada yang membawa motorsikal, ada pula yang membawa lori. Masing-masing dengan kapasiti dan kelajuan yang berbeza. Namun semuanya mempunyai 'destinasi', tujuan, dan hala masa.

Mereka yang membawa kereta ibarat sedang menggunakan internet berlajuan tinggi, manakala yang membawa lori seperti orang yang sedang memuat turun fail yang besar. Jika mengambil konsep jalanraya, cara jurutera mengurangkan kesesakan trafik ialah dengan membina jalan yang lebih lebar, menambah lorong, dan juga membina jejambat.


Begitulah jua halnya dengan trafik di internet. ISP boleh memilih untuk menambah kapasiti pelayan masing-masing untuk menyokong penggunaan bandwidth para pelanggan, yang mana ia bakal melibatkan kos. ISP juga boleh mengaplikasikan waktu-waktu puncak untuk mereka yang ingin memuat turun fail bersaiz besar, namun ini tampaknya seperti kurang munasabah.

Cipta Pelayan Cache

Jika diambil konsep bagaimana kaedah Android/pelayar web bekerja, cache digunakan untuk mengurangkan waktu loading sesuatu fail, contohnya gambar. Ia merupakan sebuah 'informasi berbentuk sementara' yang dicipta dan digunakan oleh sesuatu aplikasi.

Bagaimana jika ISP mengambil konsep ini, untuk mengurangkan kesesakan? Sebuah pelayan cache dicipta, yang mana pelayan ini bertindak sebagai 'caching server' untuk setiap data yang diminta. Contohnya video di YouTube, seorang pengguna membuka satu video, yang kemudiannya disimpan secara sementara oleh pelayan ini. Apabila pengguna yang lain ingin membukanya semula, ia dihantar secara terus oleh pelayan cache ini tanpa perlu melibatkan YouTube secara 100%. Jadi data diperoleh dengan lebih pantas, efisien, serta kurang masa memuat (loading).


Bagaimana pula jika setiap seorang pengguna bertindak sebagai 'pelayan cache', di mana setiap komputer, adalah pelayan cache itu sendiri? Ini saya ambil dari konsep BitTorrent, yang mana setiap satu komputer pengguna, adalah bertindak sebagai pelayan kepada setiap aktiviti muat turun dan muat naik. Mungkin ini hanya konsep awal, namun kaedah implementasinya boleh dirancang dan difikirkan kemudian.

Ini cuma sekadar pandangan dan cadangan dari saya. Terpulanglah bagaimana ISP/MVNO mahu menambah baik servis mereka. Saya, selaku pengguna, cuma inginkan internet yang lebih baik di Malaysia.


Powered by Blogger.