Cetusan Pemikiran : Internet Congestion & Bandwidth Throttling

Bagaimana harus saya mulakan entri ini..hmmm..


Menjelang 2014, seringkali saya tertanya-tanya, dimanakah letaknya kedudukan pembangunan internet di negara kita ini. Fikiran seperti itu secara tiba-tiba menerjah minda apabila baru-baru ini, timbul isu mengenai langganan internet dengan kuota 'tanpa had'.

Isu ini bukan isu baru. Ia telahpun lama diperkenalkan oleh negara-negara luar. Namun sejauhmanakah adaptasi internet tanpa kuota di negara kita? Apakah ia memenuhi jangkaan dan keperluan pengguna di Malaysia, atau sekadar gimik semata?


Ramai yang mula bercakap mengenainya, itupun setelah kad sim Celcom 1 Malaysia diperkenalkan dan ia digembar-gembur oleh para penggunanya sebagai 'unlimited', walaupun sebenarnya tidak. Ramai yang masih tidak faham terma 'penggunaan tanpa had' ini. Dengan jelas Celcom ada menerangkan pada pek kad sim tersebut bahawa kuota internet berkelajuan tinggi adalah sebanyak 1GB untuk sebulan penggunaan, dan sekiranya melebihi kuota tersebut, kelajuan akan dikurangkan.

Saya tidak mahu mengulas mengenai pengguna yang 'berjaya' menggunakan internet melebihi kuota tanpa ada sekatan kelajuan kerana cukup sekadar saya katakan ia merupakan 'system glitch' dari pihak Celcom sendiri dan saya yakin ia akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Apa yang saya cuba bangkitkan di sini ialah 'Pelan Internet Tanpa Had Pada Kadar Rata'.


Kesesakan Internet dan Pendikitan Jalur Lebar

Seringkali pengguna dimomokkan dengan kesesakan internet (Internet Congestion) dan atas sebab itulah ISP-ISP mengenakan apa yang dipanggil sebagai 'kuota' data. Kononnya adaptasi kuota ini mampu mengurangkan 'kesesakan internet' dengan cara memperlahankan kelajuan muat turun bagi setiap pengguna yang sudah melepasi kuota tersebut. Kelajuan standard selepas diperlahankan (capped) adalah 64kbps sehingga 384kbps.

Namun, benarkan kesesakan internet adalah isu atau punca utama kepada pendikitan jalur lebar, atau ia hanya 'gimik' semata untuk meraih keuntungan? Ini adalah kerana ISP/Telco/MVNO di Malaysia ini sudah lebih daripada mampu untuk menawarkan pelan penggunaan internet tanpa had pada satu kadar rata, akan tetapi ia masih lagi tidak ditawarkan atas sebab pelan beserta kuota lebih memberikan keuntungan kepada mereka.


Jika dahulu, jumlah '1GB' adalah besar dan memadai untuk pengguna, zaman sekarang 1GB adalah sangat kecil dan tidak lagi relevan! Saya dapat melihat akan permintaan yang sangat-sangat tinggi dikalangan para pengguna internet mudah alih untuk mendapatkan pelan internet tanpa had ini setelah keluarnya kad sim Celcom 1 Malaysia, yang mana cuma dikeluarkan sebanyak 100,000 unit sahaja. Meskipun ia bukan 'pelan tanpa had' dalam erti kata yang sebenar, namun sambutan pengguna terhadap kad sim ini adalah teramat memberansangkan atas sebab gembar-gembur dan khabar angin mengenai kelajuannya yang tidak dibatasi oleh kuota.


Permintaan yang tinggi memperlihatkan bahawa pengguna internet di Malaysia sudah semakin bijak dalam memilih pelan dan langganan. Ini bukan zamannya untuk kita masih lagi menggunakan kelajuan internet yang sangat perlahan, dan ini bukan lagi zamannya di mana pengguna hanya membuka aplikasi WhatsApp dan Facebook sahaja. Disebabkan pengguna lebih gemar menggunakan internet mudah alih, sama ada melalui kad sim yang dipasangkan pada telefon bimbit pintar masing-masing, atau melalui modem (MiFi), maka permintaan luar biasa terhadap pelan internet tanpa had bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan. Internet mudah alih bukan lagi satu bentuk hiburan semata-mata bahkan ia telah berevolusi menjadi satu keperluan kepada rakyat marhain.


Jika 'orang-orang besar' MVNO di Malaysia sudi membuka mata, telinga dan minda mengenai perkara ini, saya yakin dan percaya lembaran tahun 2014 bakal memperlihatkan pelan data internet berkelajuan tinggi tanpa had yang sebenar. Namun kita selaku pengguna hanya mampu menunggu dan terus menunggu. Bagi saya isu kesesakan internet adalah isu lapuk yang harus ditutup agar pembangunan internet di negara Malaysia yang tercinta ini bakal bersemarak pantas, seperti pantasnya kelajuan jualan kad sim 'Celcom 1 Malaysia tanpa kuota'.

Tak guna saya nukilkan panjang lebar andai mereka yang 'di atas sana' tidak mahu membuka mata. Cukup sekadar di sini coretan saya kali ini. Semoga 2014, pengguna menjadi pemenangnya.

ISP/MVNO harus ubah 'mind setting' mereka agar perlu selaras dengan kemajuan teknologi maklumat semasa. Tidak guna sekiranya hanya pengguna sahaja yang lebih maju mindanya ke hadapan dalam arena/bidang IT tetapi ISP/MVNO tidak dapat menjadi pemangkin apabila minda masih di takuk lama, lapuk dan usang.

Wahai ISP/MVNO di Malaysia, tolonglah katakan tidak kepada 'gimik kesesakan internet' dan adaptasi pendikitan jalur lebar 'untuk mengurangkannya', kerana saya percaya anda mampu memberikan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.


Powered by Blogger.