What WordPress Theme Is That?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar anda semua, harap anda sihat sejahtera? Semalam (13-Disember-2013), kedengaran bisikan-bisikan daripada pengguna platform blog terkemuka dunia WordPress tentang perubahan ketara yang ditonjolkan dalam versi terbaru mereka iaitu WordPress 3.8 "Parker". Sahabat blogger kita daripada JomPHP ada membuat sedikit ulasan tentang WordPress edisi yang terbaru ini. Anda boleh membaca hasil karangan beliau melalui pautan WordPress 3.8 'Parker' Dilancarkan Kepada Umum. Oleh sebab ramai blogger dalam dan luar negara sudah membincangkan tentang WordPress 3.8 ini, maka saya tidak akan membuat ulasan tentang WordPress yang terbaharu ini. Tetapi, artikel saya pada kali ini ada sangkut paut dengan platform blog WordPress.

Seperti yang tertera pada tajuk penulisan, saya akan membuat sedikit ulasan tentang sebuah laman yang dibina bertujuan untuk memudahkan kita mencari serba sedikit maklumat tentang sesebuah blog mahupun laman web yang dibangunkan melalui platform WordPress. Mengambil nama laman web tersebut sebagai tajuk artikel sudah cukup menjelaskan tujuan asas laman web ini dicipta. Kadangkala kita berasakan bahawa tema yang digunakan oleh blog/laman web itu sungguh menarik, dan mampu menarik perhatian kita untuk menggunakannya. Meskipun kebanyakan tema yang menarik itu merupakan versi yang diubah suai, namun mengetahui sedikit ciri-ciri tema itu sudah cukup untuk memberikan kita inspirasi untuk mereka cipta tema seakan-akan tema yang kita minati. Maka dengan itu, terbinalah aneka laman web seperti What WordPress Theme Is That? (WWTIT)

Ciri-ciri laman web What WordPress Theme Is That?
1. Laman WWTIT bukan sekadar memberikan nama bagi sesuatu tema malah WWTIT berfungsi lebih daripada itu. WWTIT menyenaraikan imbuhan-imbuhan penting seperti:

  1. Theme Homepage: Melalui ruangan ini, anda boleh mendapatkan terus pautan tema yang digunakan oleh blog/laman web tersebut.
  2. Description: Anda dibekalkan dengan huraian yang ringkas tentang tema tersebut.
  3. Version: Versi tema yang sedang digunakan oleh sesuatu blog/laman web tersebut.
  4. Author: Lebih menjurus kepada pembina dan pembangun tema tersebut.
  5. Theme Screenshot: Anda juga dibekalkan sebuah gambar asli bagi tema tersebut.
2. Melalui WWTIT juga, anda juga dibekalkan sedikit maklumat tentang pemalam (plug-in) yang sedang digunakan oleh sesuatu blog/laman web itu. Hal ini juga memudahkan anda untuk menambahkan sedikit ilmu tentang sesuatu pemalam itu dan mengapakah pemalam itu digunakan oleh mereka. Jadi, anda boleh melakukan carian di enjin carian seperti Google, Yahoo dan DuckDuckGo untuk mengetahui lebih lanjut tentang kelebihan sesuatu pemalam itu.

Melalui perkhidmatan seperti ini, anda akan dapat beribu kelebihan, namun begitu kemudahan seperti ini pasti akan disalah guna oleh pengguna atau pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, setiap pembangun laman web perlu sentiasa berwaspada akan sebarang keadaan yang mencurigakan yang menjengah masuk ke dalam blog/laman web anda. 

Pautan lain yang menyerupai.

Assalamualaikum.
Powered by Blogger.