Tips Fotografi Mobil (Fotografi Menggunakan Telefon Bimbit)

Salam,

Sejak munculnya Lenovo Photogroup Malaysia, minat saya terhadap dunia Fotografi Mobil menjadi semakin mendalam. Meskipun Fotografi Mobil terhad dari segi cirinya, ia tidak bererti kita tidak mampu menghasilkan gambar yang hebat, asal saja tahu cara dan tipsnya.

P/s: Untuk pengetahuan anda, Lenovo Photogroup Malaysia adalah penyebab kepada kemunculan Lenovo Photography Indonesia.

Disebabkan blog ini mengkhususkan kepada tips-tips mudah bagi para pemula, jadi saya tidak akan membincangkan tips atau artikel yang menyentuh kepada subjek yang terlalu 'jauh' atau 'mendalam' seperti Depth of Field, Camera Angle, Aspect Ratio dan lain-lain lagi.

Berikut saya senaraikan beberapa tips Fotografi Mobil yang sempat saya tuliskan:

1. Pastikan Jumlah Memori Mencukupi

Kebanyakan orang terlupa satu perkara ketika membawa telefon bimbit mereka ke mana-mana. Mereka suka mengambil gambar, suka merekod video, namun satu perkara ini, yang sering dilupakan ialah berapa banyak lagi jumlah memori yang tinggal untuk mereka gunakan.

Anda harus pastikan, jumlah terakhir kapasiti kad memori anda, supaya ianya mencukupi untuk anda dapat menyimpan gambar-gambar atau video-video yang menggamit kenangan. Tatkala terdapat 'moment' atau saat yang menarik, tetapi pada waktu itu kad memori anda sudah penuh, anda pasti menyesal tak sudah kerana gagal mengambil gambar pada saat itu.

2. Buat Sandaran

Disebabkan pada zaman ini storan awan sudah cukup popular, jadi manfaatkanlah ia dengan sepenuhnya. Saya sarankan anda gunakan storan awal seperti Dropbox untuk melakukan sandaran (backup) kepada semua fail-fail gambar mahupun video.

3. Cuba Pelbagai Aplikasi

Seperti yang kita tahu, gedung Google Play Store menyimpan pelbagai 'khazanah' aplikasi yang hebat-hebat belaka. Gunakanlah kata kunci seperti 'camera', 'camera hdr', dan lain-lain kata kunci lagi untuk mendapatkan aplikasi-aplikasi kamera yang terbaik. Berikut merupakan beberapa aplikasi yang menjadi pilihan ramai:

a. Camera Zoom FX
b. Camera MX
c. Camera FV-5
d. Camera 360
e. DSLR Camera
f. Google Camera
g. A Better Camera
h. Vintage Camera
i. XnInstant Pro
j. Cinema FV-5
k. ProCapture
l. Perfectly Clear

4. Manfaatkan Sumber Cahaya

Salah satu kelemahan ketara kamera pada telefon bimbit ialah kemampuannya untuk 'menangkap' cahaya dengan baik. Atas kerana itu jugalah terciptanya teknologi seperti UltraPixel. Jika boleh, cuba cari sumber cahaya yang dapat membantu untuk 'boost' kualiti gambar yang bakal terhasil, tidak kiralah cahaya yang datang dari tingkap, pintu, lampu, dan sebaik-baik cahaya adalah cahaya matahari.

Kalau sedapatnya cuba juga bereksperimen dengan sumber cahaya dari flash yang biasanya terdapat bersebelahan dengan lensa kamera anda. Walaupun kebiasaannya ia tidak banyak membantu, kerana kadangkala gambar boleh jadi 'washed-out', tetapi kalau anda boleh manfaatkan ia, maka itu bonus untuk anda.

5. Grid Lines


Grid Lines boleh membantu untuk mendapatkan komposisi gambar yang cantik. Cuba anda letakkan imej penting yang anda ingin fokuskan pada titik pertemuan antara ke-empat Grid Lines tersebut. Hasilnya pasti memuaskan hati.

6. Elak Gambar Yang Membosankan

Sebenarnya tips ini berkait rapat dengan tips Grid Lines. Apakah gambar yang tampak membosankan? Iaitu gambar yang subjek fokusnya berada di tengah-tengah. Cuba variasikan kedudukan subjek dengan menggunakan Grid Lines itu tadi. Saya yakin anda pasti akan faham bagaimana caranya dan di mana tempat letak kedudukan subjek untuk mendapatkan sebuah komposisi gambar yang cantik.

7. Manfaatkan Lensa Luaran


Seperti yang saya katakan sebentar tadi, kemampuan kamera telefon bimbit agak terhad, jadi cuba untuk maksimumkan hasil dan kualiti gambar melalui lensa luaran yang boleh didapati dengan mudah di mana-mana booth/kedai di pasar raya.

8. Abaikan Zoom?

Seboleh-bolehnya, jika anda benar-benar memerlukan fungsi zoom, gunakanlah lensa luaran yang menyokong fungsi ini, kerana Optical Zoom sudah semestinya jauh lebih cantik berbanding Digital Zoom yang sebenarnya hanya memperbesarkan imej yang ingin ditangkap.


Setakat ini saja perkongsian saya buat masa ini. InsyaAllah jika ada lagi saya akan cuba tuliskan untuk bacaan santapan minda dan rohani anda. Apa-apapun majulah Fotografi Mobil untuk Malaysia.


Powered by Blogger.