[Ilmu Bahasa] Kesilapan Umum Penulis

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Terdetik dihati ini untuk menulis sesuatu mengenai kesilapan umum seorang penulis amatur khususnya blogger. Saya bukanlah seorang guru bahasa Melayu mahupun seorang yang bertauliah tentang ilmu bahasa. Saya hanyalah seorang manusia biasa yang mempunyai minat untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang bahasa Melayu dan mula merasa akan kepentingan melestarikan kehalusan seni bahasa Melayu itu sendiri. Jika dibandingkan penulisan saya dengan seseorang yang berpengetahuan tentang bahasa Melayu, sudah semestinya ibarat langit dan bumi. Namun, guru saya selalu berpesan sekiranya kita mahu sesuatu maka kurniakanlah sesuatu. Dalam erti kata lain, kita harus menawarkan diri untuk melakukan sesuatu untuk mendapat hasilnya. Tanpa langkah, manusia akan tetap berdiri dan tidak akan dapat mengecapi nikmat di sebalik. Kesilapan umum yang disenaraikan dalam artikel ini ialah melalui pemerhatian penulis sendiri khususnya selepas membaca beberapa artikel dalam blog perkongsian ilmu yang terdapat dalam alam maya ini. Kesilapan umum ini juga diharap dapat membantu pelajar seluruh Malaysia sewaktu mengarang wacana dalam peperiksaan. Perlu diperhatikan sentiasa bahawa tatabahasa merupakan asas suatu penulisan. Rosak tatabahasa, rosaklah penyampaiannya.


1. Penggunaan Kata Pemeri Ialah dan Adalah.
Kata pemeri ialah digunakan pada Kata Nama (KN) dan Kata Ganti Nama (KGN) atau Frasa Nama (FN).
Contoh: 
Bapa saya ialah seorang guru bahasa Melayu. 
Ibu mertua saya ialah dia. (ayat pasif)

Kata pemeri adalah pula digunakan pada Kata Adjektif (KA) dan Kata Sendi Nama (KSN), juga Frasa Adjektif (FA) dan Frasa Sendi Nama (FSN).
Contoh:
Hadiah ini adalah untuk ibu saya.

*Adalah dimaklumkan bahawa... (X)
 Dengan ini dimaklumkan bahawa..., Dimaklumkan bahawa... (/)
*Kata Pemeri boleh digugurkan.
*Kata Pemeri tidak boleh hadir di hadapan Kata Kerja (KK).

2. Ia dan Ianya.
Kata ganti nama diri ketiga dia/ia hanya digunakan untuk merujuk kepada manusia sahaja. 
Tiada kata ianya dalam bahasa Melayu.
 
Perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK/ICT) telah membantu masyarakat dalam meningkatkan produktiviti mereka. Ianya juga mudah diakses di serata pelusuk negara. (X)

Anda boleh mengulang atau menggunakan kembali kata yang idea penulisan anda.
Perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi telah membantu masyarakat dalam meningkatkan produktiviti mereka. Perkhidmatan ini juga mudah diakses di serata pelusuk negara.

3. Antara dan Di antara
Antara banyak-banyak... (X)
Antara sudah menunjukkan makna jamak atau banyak. Oleh itu tidak perlu digandakan lagi perkataan selepasnya. Antara banyak, antara beribu,

Halnya sama seperti susunan fail-fail..., barisan meja-meja... Bagaimana menyusun satu fail sahaja?

Di antara digunakan hanya merujuk kepada jarak. Jarak di antara rumahnya dengan kampung ialah sekitar sepenanak nasi.

Kiasan orang tua-tua.
Sepenanak nasi - waktu menanak nasi +- 20 minit.
Sepelaung - laungan seseorang, jarak yang boleh didengari (gema) OOOooo...
Sepemeluk - panjang tangan memeluk. Contoh: Saiz pokok balak itu sekitar sepemeluk orang dewasa.

Sekian sahaja perkongsian edisi pertama ini. Diharap dapat membantu para pelajar di luar sana. Sekiranya terdapat kesilapan, sila maklumkan kepada saya dengan segera melalui ruangan komentar di bawah.

Assalamualaikum.
Powered by Blogger.