Apa Itu PPU, Tahun 2015 dan Eat-All-You-Can Data

PPU

Aih, ramai yang merengus marah dalam isu Pay-Per-Use atau singkatannya PPU. Ramai sebenarnya yang tidak kisah akan PPU sehinggalah Celcom melaksanakan ia beberapa bulan yang lepas. Kenapa? Kerana PPU dibuat meskipun pengguna masih lagi dalam langganan pelan internet.

PPU seperti ini telah pun terlebih dahulu dibuat oleh Altel (Al-Bukhary Telecommunication?) dan nampaknya pelan ini juga diminati oleh Celcom. Jadi apa sebenarnya PPU itu?

Saya enggan menerangkan atau mengulas dalam istilah yang sebenar. Bagi saya, cukuplah anda faham PPU itu adalah had data pada waktu dan ketikanya telco masing-masing akan menepuk bahu anda seraya berkata "Ini adalah masa untuk kamu membayar lagi kepada kami..".

Tahun 2014 telah membawakan kepada kita pelbagai suka-duka dalam episod 'mencari unlimited'. Tapi yang pasti dukanya memang lebih lah lagi. Celcom adalah telco yang paling teruk dikecam pengguna dek kerana sistem yang teruk, Celcom Centre yang tidak membantu, serta PPU yang tidak munasabah.

Eat-All-You-Can Data

Sekatan kelajuan juga perkara yang paling mendukacitakan pengguna. Adakah tahun 2015 kita bakal melihat lagi perkara yang sama diulang-ulang? Adakah anda masih 'sudi' menggunakan internet berkelajuan 64kbps dimana-mana anda berada? Kelajuan jika pada kenderaan sememangnya boleh membunuh jika tersilap langkah, namun kelajuan pada internet adalah sangat membantu.


Bayangkan nasib semua pelajar-pelajar yang memerlukan ia, bayangkan pula nasib peniaga-peniaga dalam talian, serta bayangkan juga nasib ibu-ibu yang tidak beberapa mampu untuk membayar kos internet tetapi masih teringin untuk berhubung dengan anak-anak tersayang melalui WhatsApp?

Itu belum dikira lagi nasib makcik-pakcik di luar sana yang hanya tahu 'on dan guna', yang tahu-tahu saja habis duit baki kredit dicaj kepada PPU. Tidakkah anda pernah terfikir akan perkara ini? Kalau pelan data tanpa had ini ada juga yang tidak menyokong dek alasan 'tengok blue', saya mohon anda yang mengutarakan pandangan seperti ini lenyap saja dari dunia.


Apa yang pasti telco akan terus membuat untung. Tetapi sejauh mana situasinya akan membawa kepada menang-menang adalah masih samar. Tahun 2015 sudah tiba, namun saya tidak nampak lagi sinar disebalik kabus PPU dan data capped ini.

Pada saya jika saya dapat menggunakan 3.6Mbps untuk data mobil tanpa had, itu sudah mencukupi. Asal saja bayarannya juga berpatutan. Bagaimana dengan bermula pada RM28? Hmmm..

Alasan ianya tidak dapat dilakukan kerana 'internet congestion' adalah sudah lapuk, begitu juga dengan pendapat data mobil tidak boleh murah kerana adanya Unifi pada harga sekian-sekian.

Fiber Internet dan data mobil adalah dua kategori berbeza, juga digunakan oleh dua kategori pengguna yang berbeza. Saya masih akan menggunakan Fiber Internet meskipun telco membuat pelan berdasarkan kelajuan dan bukan kuota. Kenapa? Kerana ianya lebih stabil, lebih boleh diharapkan, dan ianya tidak bergantung kepada liputan. Asal saja ada infrastruktur kabel fiber internet, maka adalah ia di situ.

Apa pun, jika ini adalah artikel saya yang terakhir dalam perjuangan saya untuk membantu rakyat yang tertindas akibat ketamakan telco, anggaplah ini bukan 'batu nisan' kepada setiap kata-kata saya. Saya akan terus perjuangkan hak ini, hak rakyat untuk mendapat apa yang patut daripada telco, sehinggalah suatu hari nanti semua keyboard-keyboard warrior yang beria-ia menyokong telco akan menjilat semula ludah mereka.


Mr. Hac : Malaysia Darul Kapitalis, Telco Darul Machai.


Powered by Blogger.