Bagaimana Menjadi 'Anonymous' 100% (Bahagian 2)

Apabila telah habis menonton ketiga-tiga filem Taken, secara ringkasnya kita dapat lihat satu watak yang cukup cekap 'menghilangkan jejak' diri sendiri. Tapi atas dasar apa yang perlu kita 'bayar'?

Adakah perlu kita duduk dalam gua, buang segala teknologi di tangan kanan dan tangan kiri, bakar segala rekod kelahiran, semata-mata untuk bergelar 'manusia tanpa nama'? Sanggupkah anda buat begitu?

Tidaklah saya katakan watak Bryan Mills itu begitu sifatnya, cuma kalau dilihat filem lakonan Liam Neeson yang lain, contohnya A Walk Among The Tombstone, watak Matt Scudder juga kelihatan agak 'primitif', maksud saya dari segi teknologinya. Beliau lebih selesa menggunakan telefon awam daripada menggunakan telefon bimbit pintar, hatta Nokia 3310 sekalipun. Dek kerana itulah agak sukar menjejak langkahnya melainkan beliau telah diekori rapat dari awal lagi.

Itulah jua maksud saya.


Menjadikan diri anda 100% 'manusia tanpa nama' ini bukan suatu yang boleh dianggap sebagai 'boleh dilakukan tanpa pengorbanan'. Jika dilihat kepada apa yang cuba saya ingin sampaikan, ia adalah CARA HIDUP. Kalau orang putih kata, 'it's the way of life'. Kalau ia bukan cara hidup anda, anda tidak terbiasa dengannya, saya kira anda cuma boleh menjadi hanya 'separuh manusia tanpa nama'.

Tapi adakah ianya tidak bagus? Di zaman moden dan serba canggih ini, di mana teknologi adalah segala-gala yang anda lihat, saya kira kalau dapat jadi 'separuh' pun ok, kan?

Sekiranya anda bukan penjenayah, anda tidak perlu takut sesiapa jua tahu di mana anda berada. Tetapi tidak semestinya hanya dengan menjadi penjenayah sahaja yang melayakkan anda untuk menjaga privasi. Anda boleh jadi sesiapa saja, asalkan anda sentiasa bersambung ke internet sama ada melalui komputer, peranti-peranti lain seperti peranti Android, maka selagi itulah anda perlu menjaga privasi.

Untuk apa? ASAS. Ya, privasi adalah asas kepada semua perkara. Tanpa privasi, tanpa data yang dijaga rapi, sesiapa saja yang mahir akan mempunyai akses kepada akaun-akaun sulit/peribadi/penting anda. Tidak semestinya menjadi 'anonymous' itu adalah dengan menyorokkan wajah anda dari tatapan umum, atau memakai topeng V For Vendetta sambil berarak di jalanan. Ehhh.. tersasul pula.


Kalau orang tanya saya 'kenapa', saya akan jawab ringkas, 'kerana saya boleh dan itu adalah pilihan saya'. Manusia di sekeliling anda tidak perlukan apa-apa sebab untuk membenci anda. Ia boleh jadi teman di tempat kerja anda, teman di akaun sosial anda, bahkan sesiapa saja. Jangan lupa juga, kebanyakan penceroboh-penceroboh privasi yang hendak sangat digelar 'penggodam' ini melakukannya hanya kerana hendak 'menguji' ilmu masing-masing.

Jika anda rajin sangat menggunakan internet percuma di mana-mana restoran makanan segera seperti KFC mahupun McD, anda bernasib baik jika kesemua yang menggunakannya hanya ingin menikmati internet percuma seperti anda. Tetapi jika salah seorang dari mereka merupakan techsavvy, yang sememangnya suka menggunakan ilmu yang ada untuk mendapatkan info-info sulit dari sesiapa saja yang gemar menggunakan WiFi terbuka, adakah anda rasa anda tidak bersalah kepada diri sendiri?

Atas sebab itu juga adakah anda selesa jika semua orang boleh membaca alamat rumah anda di internet? Alamat rumah yang tepat, yang boleh menjejak anda ketika anda sedang bersantai atas sofa?

Tak selesa bukan? Begitulah jua dengan komputer/telefon bimbit pintar/tablet yang tersambung ke internet. Setiap satunya ada alamat masing-masing, yang boleh dijejak dengan pasti ke tempat anda duduk, yang pertamanya melalui Alamat IP (IP Address) dan yang keduanya melalui GPS - Google's Location Service (Peranti Android anda!).

Saya telah banyak membincangkan akan hal ini di awal kemunculan blog OMG! Hackers?, waktu ia masih dikenali sebagai My Hackers Are Here, tentang pelbagai cara untuk menyembunyikan alamat IP asal. Topik ini seakan 'core topics' kepada OMG! Hackers?. Jadi jika anda tidak keberatan, mari kita kembali kepada asas untuk segalanya. Kerana tanpa asas yang kukuh, perkara-perkara lain yang melibatkan teknikal tidak akan dapat anda fahami secara menyeluruh.

Terdapat pelbagai kaedah untuk menyembunyikan alamat IP yang sebenar. Meskipun ada antara sahabat saya yang berkata "Tak kiralah berapa banyak exit nodes sekalipun (sistem TOR), ia tetap tak dapat menyelamatkan kita dari dijejak". Tetapi pada hemat saya adalah lebih baik kita lengkapkan diri dengan semua kelengkapan yang ada.

Daripada SSH Tunneling, VPN, hinggalah kepada asasnya iaitu proksi, sedikit-sebanyak ia akan membantu separuh dari diri anda untuk bersembunyi dari mata-mata jahat yang memerhati.

Untuk membaca mengenai TOR, klik di sini : Lindungi Identiti Di Internet Dengan TOR

Baca mengenai Tails di sini : The Amnesic Incognito Live System

SSH Tunneling : Klik di sini

VPN/OpenVPN : Klik di sini

E-buku percuma dari Mr. Hac : Anonymous Surfing


Sebelum nak 'sembang kemas' tentang Kali Linux kaedah-kaedah hacking yang lain, saya rasa eloklah anda dalami dulu asas-asas di atas. Kalau asas anda masih goyah, tak usahlah anda melangkau bab yang lebih jauh, takut tersadung batu di tengah jalan. Seboleh-bolehnya saya nak anda dalami, selami, dan mahirkan diri dengan kesemua kaedah untuk menyembunyikan alamat IP asal. Apabila telah mahir, maka bolehlah kita maju ke topik-topik yang lainnya.

Selepas ini saya akan cuba membincangkan pula bagaimana kita boleh cuba untuk jadikan pelayar web yang digunakan adalah 'selamat' untuk anonymity meskipun ianya adalah Google Chrome. Biasalah, kalau dah terlampau perasan diri tu 'hejes', segala yang berkaitan Google dibencinya, pada hal kalau Google menawarkan mereka ini pekerjaan dengan gaji yang super lumayan mereka sapu licin juga. Heheh..

Oh ya, cuba periksa sebahagian kecil apa yang pelayar web anda telah dedahkan kepada 'dunia luar' tanpa anda memberitahu kepada sesiapa melalui pautan ini : Stay Invisible

Kalau nak bahan bacaan yang santai, anda boleh cuba baca cara untuk spoof MAC address (Arch Linux) di sini : MAC address spoofing - ArchWiki

Baiklah. Saya harap anda baca sampai ke akhir barisan ini. Semoga anda beroleh sedikit manfaat. Sedikit pun jadilah, asalkan ada bahagian saya di akhirat kelak. Amin.


Powered by Blogger.