Semakin Besar Nombor, Semakin Hebat Spesifikasi Telefon Pintar: Sampai Bila?

Seiring perkembangan teknologi yang kian pesat, pengguna 'dididik' mindanya dengan lebih besar sesuatu nombor itu, maka lebih hebatlah spesifikasinya, dan dengan itu juga lebih hebat lagilah prestasinya dalam penggunaan harian.

Tetapi benarkah begitu?

Dalam perbincangan ini kita akan mengambil skop kecil iaitu telefon pintar. Setiap tahun telefon pintar dimuatkan dengan spesifikasi yang semakin 'besar nombornya', iaitu baik dari Megapixel kamera, hinggalah kepada kelajuan pemproses. Daripada 32-bit ditingkatkan kepada 64-bit, daripada kelajuan rendah seperti 1.8GHz ditingkatkan kepada 2.7GHz, dan juga sekecil-kecil bateri berkapasiti 1800mAh ditingkatkan lagi hingga 4000mAh.

Namun begitu, kita ambil pula contoh pemproses Snapdragon. Baru-baru ini digembar-gemburkan dengan isu kepanasan melampau pada pemproses terbaru mereka iaitu Snapdragon 810. Pelbagai ujian dan teori telah dikeluarkan. Salah-menyalah antara satu pihak dengan pihak yang lain berlaku, dari pengeluar telefon pintar yang dikatakan mengeluarkan produk 'tidak siap', hinggalah kepada pengeluar pemproses Snapdragon sendiri.

Rujukan : End of Denial: Yet Another SD810 Phone with Issues?


Isunya di sini adakah pengeluar-pengeluar produk ini terlalu cepat melepaskan produk mereka seolah-olah tanpa ujian yang benar-benar jitu, akibat daripada permintaan tinggi dari pengguna yang saban masa dahagakan spesifikasi lebih tinggi? Apakah selepas ini kita bakal dapat melihat telefon pintar dengan RAM melebihi 4GB, pemproses grafik yang dapat memaparkan permainan menyamai kualiti konsol, dan skrin super duper resolusi? Benar, kualiti permainan pada Android sekarang sudah hampir menyamai kualiti konsol, tetapi kita berbalik kepada akar perkataannya iaitu 'sudah hampir', yang bermakna ia masih lagi belum benar-benar menyamai kualiti konsol itu sendiri.

Megapixel kamera juga sudah menunjukkan perlumbaan yang semakin laju, dengan kamera telefon pintar Nokia sebagai penanda arasnya pada 41 Megapixel. Oppo dikatakan mampu menghasilkan kualiti gambar dengan penghasilan seakan 50 Megapixel, jadi kita akan lihat perkembangan ini sama ada pada masa akan datang apakah mereka benar-benar bakal menghasilkan kamera 50 Megapixel dan bukan pasca-pemprosesan semata.

Ruang storan juga adalah antara spesifikasi telefon pintar yang seringkali menjadi 'anak tiri' kepada semua spesifikasi. Dengan perlumbaan Megapixel kamera, maka semakin tinggi jumlah Megapixel, semakin besar saiz gambar. Tak lupa juga pada mereka yang gemar menyimpan video-video berdefinisi tinggi, ataupun audio-audio berkualiti. Benar, kita ada storan awan, namun kita perlu ingat tidak semua rakyat di Malaysia mempunyai data internet tanpa had seperti Streamix, Unifi, dan lain-lain lagi. Jadi ruang storan juga adalah satu ciri kritikal yang lebih perlu mendapat 'nombor yang lebih besar'.


Kalaupun ada 'nombor lebih besar' yang saya rasakan patut dibangunkan, ialah kapasiti bateri, dek kerana pengeluar berlumba-lumba membangunkan telefon pintar yang sangat berkuasa namun terlupa untuk membangunkan 'penjana' kepada kuasanya. Apalah guna ada telefon pintar dengan kuasa Super Saiyan Son Goku tetapi tak sampai sehari rambut terpacaknya sudahpun layu.


Powered by Blogger.