Menggunakan Telefon Bimbit Pintar Sebagai Pemain Muzik (Versi Audiophile)

Pada ketika ini majoriti dari kita mendedikasikan telefon bimbit pintar sebagai pemain muzik. Sama ada sedar atau tidak, adalah lebih mudah menggunakan telefon bimbit dek kerana ia sentiasa hampir dengan kita. Tambahan pula terdapat banyak pilihan servis penstriman audio Seperti Spotify, Deezer, Google Play Music, dan lain-sebagainya. Pada waktu dulu saya lebih memilih untuk memainkan audio melalui pemain mp3 kerana pada saya ia dicipta khusus untuk itu, jadi seharusnya kualiti audio yang dihasilkan adalah terbaik. Namun seiring perkembangan zaman, telefon bimbit juga telah berevolusi sedikit demi sedikit lalu memuatkan pelbagai ciri untuk menjadikan kualiti audio lebih baik dari sebelumnya

Pengeluar-pengeluar telefon bimbit pintar sememangnya telah mencuba untuk mencipta telefon bimbit pintar dengan ciri-ciri yang paling hebat melalui flagship masing-masing. Baik kamera mahupun pemproses, seakan ada yang tidak terlepas dari penambahbaikan, akan tetapi kebanyakan darinya terlepas pandang kepada kualiti audio/muzik. Kalau ada pun, mungkin HTC tampak 'serius' dalam bab ini apabila menampilkan Beats Audio pada HTC Sensation XE buat pertama kalinya, kemudian disusuli dengan penampilan pembesar suara bercirikan 'BoomSound'. Ada juga pengeluar lain seperti Lenovo dengan Dolby Mobile dan Dolby Atmos, Alcatel dan OnePlus dengan pembesar suara JBL/Yamaha, dan beberapa lagi pengeluar lain yang ingin bersaing dalam ciri muzik ini.


Namun DAC yang dimuatkan dalam telefon bimbit pintar berprestasi seperti 'pertengahan' sahaja. Tidak terlalu bagus, tidak pula terlalu teruk. Cuma jika tidak dibuat apa-apa usaha dari diri sendiri (optimization/flash mods), maka kualiti audio ketika dimainkan khususnya melalui headphone atau earphone/in-ear headphone adalah agak teruk.

Ini baru diambil kira dari segi perkakas telefon. Dari segi sistem operasi pula, selain dari telefon yang dimuatkan dengan Beats Audio, Sony Clear Audio, Sony xLoud, Dolby Mobile/Dolby Atmos, Harmon Kardon, MaxxAudio, dan lain-lain contoh lagi, kebiasaannya ia hanya bergantung kepada apa yang ada pada stock Android atau apa yang disediakan oleh pengeluar, dan seperti yang kita tahu, stock Android tidak mengandungi kesemua jenis 'optimization' ini. Kualiti audio yang dihasilkan adalah tidak beberapa memuaskan. Oleh itu adalah bagus sekiranya jika anda serius dengan kualiti muzik, carilah jenama telefon yang sudah sedia memuatkan ciri-ciri audio ini, atau boleh dimuatkan melalui custom recovery jika ia terdapat dipos di forum-forum terutamanya XDA-Developers.


Setelah mengambil kira kesemua perkara ini, anda perlu meneliti pula fail-fail muzik yang anda telah muat turun. Anda perlu tahu, semakin kecil kualiti yang anda pilih, semakin hilang perincian kualiti audio. Spotify melalui langganan Premiumnya boleh membenarkan pengguna untuk strim muzik pada kualiti 320kbps. Samalah juga halnya dengan Deezer dan Google Play Music. Dalam pilihan tetapan pemain-pemain muzik ini, terdapat pilihan untuk strim dengan 'kualiti normal'. Melalui kualiti ini anda perlu tahu berkemungkinan ianya adalah serendah 128kbps sahaja, dan apa-apa fail muzik dengan kualiti di bawah 256kbps akan hilang lebih banyak perincian bunyinya. Sama juga halnya jika anda muat turun fail-fail muzik, adalah disarankan untuk muat turun fail dengan format FLAC. Apapun anda perlu tahu semakin tinggi kualiti fail, semakin besar pula saiznya. Satu album dengan format FLAC boleh mencecah sehingga 2GB. Jika anda audiophile sejati, maka ruang storan anda juga adalah perlu sama besar dengan minat anda.

Dari telefon bimbit, beralih kepada perkakasnya, hinggalah kepada firmware dan kualiti audio. Kini kita lihat pula pada kualiti alat yang anda gunakan untuk mendengar muzik. Saya sarankan jika anda pendengar muzik yang tegar, adalah berbaloi untuk melaburkan sedikit lebih modal anda dan membeli headphone atau in-ear headphone yang berkualiti. Tiadalah gunanya ada telefon bimbit pintar paling canggih tetapi headphone yang anda gunakan adalah Beats by Dr. Dre 'celup' berharga RM15 dari pasar malam. Ia adalah perbuatan yang sia-sia. Buatlah sedikit 'research' anda sendiri akan headphone yang anda minat, perbezaan harga dan spesifikasi lalu sambarlah ia laju-laju setelah modal berkepuk dalam beg dompet.


Baiklah, kalau adapun lagi yang boleh membantu anda menikmati muzik ke tahap paling maksima ialah DAC, aplikasi pemain muzik terbaik untuk para audiophile, dan juga 'sound mods' yang biasanya terdapat dalam forum XDA. Untuk DAC anda boleh cuba berjinak-jinak dengan jenama Fiio, kerana ia mudah didapati di negara ini, manakala pemain muzik pula saya sudah buat beberapa reviu. Anda boleh gunakan butang carian di atas blog ini untuk mencari artikel berkaitan. 'Sound Mods' pula meskipun bukan semua telefon bimbit serasi dengannya, ini adalah terpulang kepada kegigihan anda untuk mencari yang terbaik. Apabila semua ciri ini telah 'bertemu', maka saya harapkan agar anda tidak mendengar lagu melalui headphone semasa memandu kerana sumber pendengaran anda untuk pemanduan adalah lebih penting dari mendengar lagu. Huh..


Powered by Blogger.