Windows 10 : Sebuah Evolusi dan Kacukan Antara Windows 7, 8, 8.1, Semua Dalam Satu Pakej, Bahkan Sedikit Bercirikan Linux

Assalamualaikum dan salam 1 GST Hari di Hari Raya buat semua pembaca OMG! Hackers? yang dirindui sekalian. Mungkin masih belum terlambat lagi rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua penganut agama Islam yang sedang merayakan hari yang mulia ini.

Bila dah lama tak menulis ni, faham-faham sajalah. Otak tumpul, bahasa sedikit kaku, jari-jari pun menjadi malas. Lantaran keadaan semasa yang menyebabkan Mr. Hac terpaksa berhenti menulis buat seketika. Namun untuk para pembaca yang masih setia menanti saya gagahkan jua kerana blog ini meskipun bukan sumber info/tutorial IT anda yang utama, tetapi matlamatnya ialah untuk menyampaikan apa juga yang berkaitan dalam bahasa mudah faham untuk semua.

Boleh dikatakan saya ni dah lama tak 'usik' laptop saya ini, sejak awal tahun 2014 kalau tidak silap. Tak pernah lagi ia diformat secara bersih dek kerana Windows 7 yang saya gunakan adalah sangat stabil, dan tak pernah bikin apa-apa masalah. Tetapi apabila Microsoft menawarkan kemas kini sistem operasi kepada versi Windows 10 secara percuma, tidak dapat tidak hati saya ini sedikit terusik untuk mendapatkan ia. Siapa yang tidak suka barang percuma bukan? Melainkan anda jenis yang suka bayar lebih, itu saya tidak boleh 'ubatkan'.

Maka setelah pelbagai tutorial saya cuba, akhirnya siaplah juga pemasangan Windows 10 Pro ini di laptop Lenovo G480 saya yang super duper ohsem.




Impresi/Tanggapan Pertama

Pertamanya, pada saya adalah masih terlalu awal untuk mengatakan sesuatu yang terlampau memuji atau terlampau mengutuk Windows 10 kerana ia masih juga terlampau baru rilis kepada semua pengguna. Tetapi kalau anda minta impresi atau tanggapan pertama saya terhadap sistem operasi ini, saya hanya ada satu perkataan yang dapat menerangkan ia secara jelas iaitu; Ohsemmm (Awesome!).

Mengapa?

Perkara pertama yang selalu saya lakukan selepas memasang Windows 7 ialah mencari terlebih dahulu pemacu-pemacu yang wajib ada untuk Laptop saya ini. Kalau tidak ada sajalah masalahnya, sekejap-sekejap pembesar suara tidak berbunyi, sekejap-sekejap datangnya BSOD. Ehhh, macam-macam lah senang cerita.

Tetapi selepas siapnya pemasangan Windows 10, ia seakan-akan memandang anda dengan satu pandangan yang murni dari orang gaji baru seraya berkata "Tuan, tuan cuma perlu tunggu je dekat depan lappy. Nanti saya siapkan semuanya ya? Jangan bimbang, sekejap lagi siaplah semua. Tuan tinggal guna je nanti ok?"

Dan saya pun menyambutnya dengan perkataan "Wow..". Terpana seketika melihat taskbar yang gelap, start button yang telah kembali, dan wallpaper lalai (default) yang memancar. Saya terus terlupa untuk mencari fail-fail pemacu wajib pasang tersebut. Tetapi apabila diperiksa jelaslah bahawa semuanya 'sudah siap'.


Huh, bagus sekali. Tak perlu risaukan soal pemacu lagi, akhirnya!

Sabar, ini bukan satu-satunya penambahbaikan yang boleh disebutkan untuk Windows 10. Sebenarnya terdapat pelbagai lagi ciri-ciri baru, penambahbaikan, dan juga integrasi-integrasi lalai yang membantu untuk meningkatkan pengalaman baik anda dengan Windows 10.

Multi-tugas adalah salah satu darinya.


Saya pun sebenarnya masih lagi sedang cuba memahami bagaimana caranya untuk memaksimumkan penggunaan multi-tugas sepertimana yang anda boleh lihat melalui paparan skrin di atas. Snap Windows ini memaparkan beberapa aplikasi yang sedang dibuka dan ianya boleh dipilih menggunakan kombinasi butang Windows dan kekunci anak panah.

Ok lah, kalau anda nak katakan yang ciri ini meniru Linux pun saya tidak akan nafikan. Tetapi apabila Microsoft 'meniru' ciri ini dari sistem operasi Linux, anda patut berbangga dan menganggap bahawa apa yang telah dilakukan oleh para pembangun Linux selama ini adalah perkara yang terbaik, dan disebabkan itulah ciri ini 'diambil' dan diimplementasikan dalam Windows 10.

Apa lagi ya?

Windows Store? Tiru Ubuntu Software Center?

Errr.. ya, kalau ciri ini pun anda hendak katakan Microsoft telah meniru Ubuntu, saya tidak akan sekali-kali salahkan anda. Sememangnya mereka ni kaki peniru. Hehe.. namun anda perlu zahirkan kesyukuran, sebabnya melalui Windows Store ini anda akan memperolehi pengalaman 'gaming' yang baik. Tak kisahlah permainan tersebut mempunyai In-App Purchases atau ianya versi berbayar, apa yang pasti bukankah ini yang dingini dari seorang gamer?

Tak lupa juga banyak lagi aplikasi/perisian lain selain permainan yang boleh anda terokai. Jangan segan-silu la heh!


Prestasi?

Oh wow, kalau ada satu perkara yang boleh saya lampiaskan pujian saya pada Windows 10 adalah prestasi, animasi, dan paparan antaramuka yang semakin canggih dan cantik. Semuanya seakan terletak dengan baik pada tempatnya, semuanya seperti 'cukup-cukup' tanpa tambahan ciri yang merepek, atau kekurangan ciri yang menyakitkan hati.

Cortana? Beliau adalah Pembantu Maya yang mempunyai suara yang sedap, tidak seperti Pembantu Maya dari pesaing-pesaing yang pada kebiasaannya bersuara seakan robot. Hehe..

Tetapi yang paling penting, ia mampu melakukan tugas-tugas asas dengan baik. Pada saya, itu sudah mencukupi, tak perlu Pembantu Maya yang mampu diajak berbual sekalipun. Tetapi kalau boleh lagilah bagus!



Microsoft Edge

Ok, pada saya ia tidak menghampakan. Seperti Internet Explorer dahulu, ia masih mempunyai ciri-ciri paparan antaramuka yang lama, tetapi dengan sedikit pembaharuan, dan ianya pembaharuan sedikit yang tampak ketara. Wow.. agak tinggi falsafah saya di situ..




Paling penting sekali ia dapat memainkan video dengan paparan resolusi 4K tanpa masalah (lagging dan sebagainya!). Tak lupa juga setakat ini saya masih lagi belum memasang pemain flash.


Baiklah, saya rasa untuk artikel permulaan ini cukup setakat ini dahulu. Kalau ada apa-apa pertambahan, saya akan terus kemas kini secepat mungkin. Apapun, jangan tunggu lagi. Windows 10 adalah amat berbaloi untuk anda yang sekian lama menanti sistem operasi ini.

Ianya adalah gabungan kesemua kebaikan yang anda boleh dapat pada Windows 7, 8, dan 8.1. Ianya begitu bagus hingga menyebabkan Microsoft melangkau versi (Windows 9! Lupa ke lepas nombor 8, apa nombornya?). Setakat ini saya berpuas hati dengan peralihan/naik taraf yang telah saya lakukan.

Anda yang masih terfikir-fikir tu, lakukan perubahan segera. Rasai prestasi Windows 10.



Powered by Blogger.