Kenapa Menggunakan Linux Masih Lebih Baik Berbanding Windows 10

Kalau anda adalah peminat dan pengguna Linux yang 'sejati', kehadiran Windows 10 tetap tidak akan menggugat kesetiaan anda. Berbeza dengan saya, saya suka mencuba segalanya. Bosan apabila tetap pada sesuatu sedangkan kita boleh memperoleh pengalaman berbeza dengan ilmu yang baru. Bukankah begitu lebih baik?

Namun dalam Linux vs Windows, versi 2015 ini, kedua-duanya tampak seakan cabar mencabar antara satu dengan yang lain. Suka untuk saya katakan di sini, kedua-duanya tidaklah 'menang' melainkan penggunanya.


Apapun saya ingin 'highlight' beberapa sebab kenapa saya katakan pengguna Linux lebih beruntung, kerana sistem operasi Linux lebih baik berbanding Windows 10. Antaranya ialah:

1. Percuma Tanpa Syarat

Oh ya, Windows 10 adalah 'percuma'. Ambil perhatian kepada pembuka dan penutup kata itu, kerana Windows 10 hanya diberikan secara 'percuma' melalui proses naik taraf sistem operasi yang telah diaktifkan dengan lesen yang sah/asli. Betul, ada juga kes yang saya dengar versi lanun pun boleh juga. Tapi kalau saya jadi 'mereka', saya tak berani.

Manakala Linux pula terus kekal percuma tanpa apa-apa syarat. Anda nak muat turun ISO hari ini, percuma. Esok, percuma. Lusa, tulat, tonggeng, temanggung, temanggeng, semuanya percuma. Tinggal rajin atau malas untuk belajar, itu sahaja.

Windows 10, kalau ingin dibeli harganya maksima hingga RM1000+. Wow.

2. Tiada Isu Keylogger

Ok, meskipun saya dah menyampah dengan isu ini, yang telah saya terangkan dalam entri sebelumnya, tetapi pengguna Windows 10 tetap dihantui dengan pelbagai isu yang melibatkan privasi. Data-data dan setiap taipan pada papan kekunci dikhuatiri akan disalahgunakan, dan 'dicuri' oleh Microsoft. Ewww~

Linux? Tiada isu ini. Dahulu pada tahun 2013 Richard Stallman pernah mengatakan Ubuntu adalah Spyware. Tetapi harus diingat, Linux bukan hanya Ubuntu, dan Ubuntu bukan mewakili Linux. Kalau khuatir dengan isu Ubuntu ini gunakanlah Arch Linux. Aman damai kepala otak ini, sejuk je rasa. Heheh.


3. Windows 10 Memaksa Pengguna Kemaskini

Ahhh, come on la, kita semua ni kedekut kuota sebab harga pakej/pelan internet di Malaysia ni mahal bukan main, manakala kuota pula sejimbit seciput sedikit cuma. Ada hati nak suruh kita kemaskini sistem operasi setiap hari tanpa ada pilihan untuk 'opt-out'? Ewww~

Linux? Anda dah pasang, nak kemaskini, silakan. Kalau tak nak, apa yang anda guna tu sudah mencukupi. Kalau ada kuota lebih, nak kemaskini, lagi bagus. Kalau kuota habis, menangislah kamu di tepi dinding sana.

4. Kebimbangan Terhadap Virus dan Penggodam

Ahhh, ini satu lagi isu. Tak cukup dengan Microsoft memantau setiap taipan pada papan kekunci untuk 'mengajar Cortana menjadi lebih bijak', pengguna terpaksa berfikir bagaimana cara untuk selamat daripada virus-virus bodoh seperti virus shortcut (serius? dah masuk tahun 2015 kot. Virus ni masih viral!).

Sementara pengguna Linux hanya senyum-senyum kambing saja melihat anda mencucuk pemacu USB ke port USB komputer mereka. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana tiada virus shortcut atau lain-lain virus geli-geli yang boleh masuk menyusup.

5. Prestasi Dijejaskan Oleh Bloatware

Windows 10 dipenuhi oleh 'bloatware' atau 'crapware' walaupun ia bukan datang dari OEM. Ia datang dari Microsoft sendiri. Penuh dengan pelbagai aplikasi yang akan dimuat (load) ketika startup dan kemudian memenuhi RAM anda. Betul, boleh dibuang, tetapi kenapa nak sakitkan kepala tentang prestasi apabila Linux akan sentiasa berprestasi tinggi setiap hari tanpa dapat dijejaskan oleh apa-apa, melainkan 'kesilapan' anda sendiri..?

Jangan lupa anda kena jaga juga registry Windows supaya ianya tidak dipenuhi dengan pelbagai entri yang tidak perlu. Kalau salah padam, salah tambah, akan jadi isu baru pula. Linux tiada registry. Tiada juga isu ini. Hilang sakit kepala untuk satu lagi perkara.

5 point saya tidak cukup kuat ke? Ahhh, tak kisah lah. Saja je nak panaskan keadaan. Kah kah kah. Bagi anda yang dah selesa dengan Windows 10 tu bawak-bawaklah mencuba Linux, keluar dari kepompong anda yang selesa tu.

Bila nak guna Microsoft Words, Powerpoint, Excel, main game, masuklah ke dalam Windows 10. Tapi bila nak buat kerja lain, dengar lagu, layari laman web, tulis blog, tulis novel, coding aplikasi/perisian, coding laman web dan bla bla bla (lain-lain aktiviti berfaedah!), masuklah ke dalam Linux. Kan lebih 'power user' gitu.

Apapun cakap banyak tak guna. Ada berani gunalah Arch Linux. Ada berani ke?


Powered by Blogger.