Anda Tidaklah 'Anonymous' Seperti Yang Anda Sangka


'Anonymity' ialah suatu keadaan individu yang 'tidak dikenal pasti' atau 'tidak dapat dikesan' di internet. Orang-orang seperti ini digelar sebagai 'Anonymous'.

Kebanyakan orang menyangka, dengan menggunakan tools ringkas seperti 'SSH' (tunneling), VPN/OpenVPN, proksi, ataupun TOR (juga salah satu proksi) mereka sudah pun menjadi 'anonymous'.

Tetapi, benarkah begitu?


Satu Pecahan Informasi

Setiap satu servis anonymity yang anda gunakan pastinya mempunyai satu pecahan informasi khusus untuk membezakan setiap satu dari pengguna. Salah satu contoh mudah ialah alamat IP asal anda. Meskipun ia tidak dapat memberi keseluruhan identiti, namun ianya boleh berkait dengan informasi lain hingga akhirnya identiti pemilik boleh terdedah.

Tidak kiralah VPN, TOR, ataupun pembayaran menggunakan Bitcoin, anda tetap tidak anonymous. Apa yang boleh dicapai melalui tools seperti ini hanyalah menjaga hak privasi atau kerahsiaan anda dari orang lain di internet.


Servis Tanpa Log

Servis tanpa log adalah suatu kisah dongeng. Apabila menjalankan sebuah syarikat VPN yang besar, ianya adalah karut jika dikatakan mereka menjalankan servis tanpa satu log sekalipun. Tahu LulzSec? Tahu Hide My Ass? Ya, LulzSec menggunakan servis dari Hide My Ass untuk melakukan kerja-kerja penggodamannya. Apa yang terjadi? Hide My Ass 'menyerahkan' mereka kepada pihak berkuasa dan ada antara ahlinya yang dipenjara sehingga 15 tahun lamanya. Mana datangnya maklumat pengguna? Ya, logging.

Apa Kegunaan Log?

Seperti yang dikatakan servis VPN/Proksi tanpa log adalah mustahil untuk dilaksanakan. Secara minimal pasti ada, kerana maklumat yang sedikit inilah yang akan digunakan oleh penyedia servis untuk menawarkan kepada pengguna pelan-pelan yang berbeza, mengehadkan pengguna kepada beberapa sambungan peranti, melakukan penyelesaian masalah kepada sambungan rangkaian VPN, mencegah penyalahgunaan khidmat seperti spammer, DDoS dan lain-lain lagi. Jadi kalau tidak banyak, sedikit logging pasti ada, pasti diperlukan.

Kebanyakan Servis VPN Menyewa Pelayan

Ya benar, kebanyakan servis hanya menyewa pelayan dari sebuah syarikat besar lain, ibarat anda menyewa sebuah rumah ataupun menyewa tanah dari tuan tanah kedaung. Mereka tiada kawalan penuh kepada pelayan-pelayan tersebut. Bagaimana servis-servis ini boleh menjamin hak privasi anda dari dicerobohi oleh tuan tanah itu sendiri? Bagaimana mereka boleh menjamin 'zero logging' kalau ia bukan dipunyai oleh mereka sendiri? Tuan tanah kedaung itu boleh melakukan logging ke atas sambungan anda.

Jaga Privasi

Ya, untuk waktu ini apa yang boleh saya katakan matlamat menjadi 'Anonymous' secara 100% adalah hampir kepada mustahil (walaupun boleh tetapi amat-amat-amat sukar). Apa yang lebih penting sekarang ialah adalah lebih baik anda langgan mana-mana servis VPN hanya untuk menjaga privasi anda, melindungi sambungan rangkaian anda dari penceroboh luar, dan untuk melepasi sekatan-sekatan kepada laman-laman web. Tumpukan perhatian kepada perkara ini, barulah fikir bagaimana cara terbaik untuk anda menjadi 'manusia tanpa nama' di internet. Selamat belajar.


Powered by Blogger.