Review Produk : SonicGear Pandora Neo 200 Cool

Hari ini ketika pekerja GDEX sampai di depan pintu rumah saya, saya jadi terpempan sebentar. Langsung tidak ingat yang saya pernah menempah apa-apa barang kerana apa yang ada dalam ingatan saya, memang saya tidak ada melakukan apa-apa transaksi untuk sebarang pembelian di internet.

Jadi apabila nama saya disebut dengan betul, saya terus ambil barang yang dihantar tanpa ragu-ragu walaupun dalam kepala masih cuba mengingati kalau-kalau ada apa-apa yang saya terlupa. Apabila dibuka sahaja bungkusan, tahulah saya bahawa ianya adalah 'review unit' dari syarikat Leapfroglobal, iaitu dua unit pembesar suara mudah alih dari siri Pandora Neo.


Untuk artikel ini saya akan mereviu satu dahulu unit iaitu SonicGear Pandora Neo 200 Cool. Hmmm.. boleh tahan panjang nama dia. Tetapi apakah kualitinya sehebat namanya?

Untuk pengetahuan anda, bagi tujuan ujian ini saya menggunakan aplikasi/perisian jetAudio 8.1.4 Plus beserta DFX Audio Enhancer, tak lupa juga Spotify untuk senarai lagu-lagu kegemaran saya. Saya memang telah 'setting baik punya' untuk pengujian yang akan saya selesaikan.


Bukan apa, kalau setakat mendengar, semua orang boleh mendengar (kecuali OKU). Tetapi pendengaran audiophile adalah sangat teliti dan 'cerewet', semuanya perlu disiapkan mengikut kepada justifikasi yang telah 'ditetapkan oleh telinga'.

Spesifikasi SonicGear Pandora Neo 200 Cool :

- Pembesar suara mudah alih stereo (really bro? stereo? Wew.. Cool..)
- Bluetooth CSR 4.0
- Microphone terbina dalaman dengan ciri menjawab panggilan
- 3 ciri main semula muzik iaitu Bluetooth, Aux-in dan SD Card
- Radio FM terbina dalaman
- Paparan digital LED
- Rekabentuk butang yang mesra pengguna
- 6 jenis equalizer mod akustik
- 1800 mAh bateri lithium ion terbina dalaman

Apa yang terkandung dalam kotak?


- 1 unit pembesar suara mudah alih SonicGear Pandora Neo 200
- 2 pemegang ekstra
- 1 alat kawalan jauh
- 1 kabel pengecas USB
- 1 kabel audio 3.5mm
- 1 manual pengguna

Bagaimanakah kualiti bunyinya?


Pertama sekali saya belum mahu sebutkan kualiti bunyi. Saya hendak sentuh sedikit tentang rekabentuk pembesar suara ini. Seperti yang anda dapat lihat, SonicGear memang pandai memanipulasi bab warna dan juga rekabentuk comel yang memikat hati. Saya yang lelaki ni pun rasa nak peluk-peluk pembesar suara ini. Hehe..

Saiznya? Kecil sahaja. Kalau nak dibandingkan dengan pembesar suara SonicGear saya yang lama ni, ianya cuma besar sedikit sahaja darinya.


Di atasnya terdapat beberapa butang dan satu tombol kecil boleh laras untuk menguat atau mengurangkan kadar kelantangan bunyi. Butang-butang itu terdiri dari EQ, Mode, Play, Fast Forward dan juga Fast Backward. Manakala di belakangnya pula terdapat butang On/Off, slot SD Card, ruang USB untuk pengecasan kuasa dan juga ruang untuk kabel audio 3.5.

Di depannya kita dapat lihat dengan jelas skrin LED yang memaparkan mode pilihan, serta lubang-lubang kecil bagi pemacu pembesar suara mengeluarkan bunyinya.

Saya telah menguji cuba pembesar suara comel ini dengan senarai beberapa lagu yang saya kira sebagai lengkap dari genre Techno, Metal, Jazz, Rock, Dangdut, Hip-Hop dan juga Instrumental.

Untuk lagu-lagu yang memerlukan bunyi treble lebih dari biasa contohnya Metal, ia telah berjaya menghasilkan audio 'terasing' yang mana setiap instrumen gitar utama dan rhythm boleh didengari dengan sangat baik. Tak lupa juga bunyi vokal kedengaran tidak tenggelam di sebalik intrumen-instrumen lain. Ianya 'keluar' dengan jelas sekali.

Bagi muzik-muzik yang lebih banyak bunyi drum/digital drum atau senang cerita muzik seperti Techno dan Hip-Hop, tak salah kalau saya katakan pemacu ini berfungsi dengan cemerlang, meskipun masih perlu memasang suara pada tahap yang 'selamat', iaitu tidak terlalu kuat. Kalau dipasang kuat sekalipun audio dihasilkan tidaklah 'memecahkan' pemacu, cuma kuasa hentakan drum tidak begitu ketara. Mungkin ada tetapan lain yang perlu saya lakukan untuk menonjolkan ia. Mungkin hasil akhir tidaklah seperti pembesar suara beserta sub-woofer, ada kuasa hentakan yang sangat padu, namun cukup untuk menggegarkan telinga anda.

Saya sarankan jangan sekali-kali mendengar pada kadar kelantangan tinggi. Kononnya, saya nak uji ia, adakah pemacu akan berbunyi seakan 'pecah-pecah' apabila dimainkan pada kadar paling tinggi (vol : 32). Tetapi apa yang terjadi sebelah telinga saya dah tak beberapa nak dengar ni. Tak sangka pula, kecil-kecil pun ia 'berbisa'. Siapa sangka yang kecil itu menyakitkan. -_-

Kesimpulan

SonicGear Pandora Neo 200 Cool adalah sebuah pembesar suara mudah alih yang kecil namun lebih berkuasa dari penampilannya yang sederhana. Jangan pandang ia sebelah mata, kerana dengan pandangan sebelah mata itu mungkin nanti sebelah telinga anda akan 'sakit' seperti saya. Hahaha..

Pandora Neo boleh dibeli di pasaran pada harga RM149. Berbaloi-baloi bukan?

Terima kasih kepada Samuel Fo kerana telah menghantar review unit ini kepada saya. Saya amat menghargainya. Selepas ini saya akan menguji cuba Pandora Neo 500 Cream pula. Nantikan review seterusnya dari saya!

Powered by Blogger.