Review Filem Deadpool [Spoiler Alert!]

Anda masih kecewa dengan pembatalan filem The Amazing Spiderman 3? Tak perlu lagi, kerana kini kita sudah ada pengganti hero dalam sut merah yang sama kelakar (malah lebih lagi!), sama tangkas, dan paling penting lebih 'gila' dari biasa.


Waktu saya mula menonton filem Deadpool, saya kagum dengan opening credits yang pada saya ianya sahaja sudah cukup kelakar, dan disusuli dengan babak-babak gila Deadpool seterusnya.

Ianya adalah antara tiket yang paling saya berpuas hati membayarnya. Tak lupa juga jasa popcorn yang menceriakan suasana perut dalam hawa dingin panggung wayang. Deadpool secara ringkasnya adalah filem superhero terbaik untuk 2016 (buat masa ini) yang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Titik. Noktah.

Pada saya pengarahnya iaitu Tim Miller, telah berjaya menonjolkan sisi sebenar Deadpool yang cuba digambarkan oleh pelukis komik. Filem ini boleh terus menjadi tayangan pecah panggung walaupun ianya adalah hasil karya beliau yang pertama. Ya, pertama, huh, memang gila dan gila-gila.


Filem bermula dari 'karier' Wade Wilson sebagai pembunuh upahan yang secara tiba-tiba didiagnos menghidap kanser tahap akhir. Enggan berputus asa dengan takdir yang menimpa, Wade mengambil keputusan untuk mencuba satu jalan penyelesaian yang pernah ditawarkan kepadanya sebelum ini.

Namun Apa yang terjadi ialah Wade telah bertukar menjadi tikus makmal yang dikenakan eksperimen demi eksperimen dalam bentuk penyeksaan setelah disuntik dengan sejenis cecair untuk memaksa dirinya bermutasi.

Pada akhir seksaan, Wade berjaya dalam proses mutasinya namun bentuk fizikal telah berubah menjadi seakan Freddy Krueger yang hodoh dan menggerutu. Cuma faedahnya meskipun tangan terputus, ianya akan sembuh sendiri dan tumbuh semula tangan yang baharu. Wow. Ada jual dekat mana-mana ke cecair ni?

Sebab seingat saya dadah yang digunakan dalam filem 'Limitless' adalah benar kewujudannya. Hmmm..

Paling menarik perhatian ialah bagaimana adanya keserasian antara watak Wade Wilson dan Vanessa. Kedua-duanya sama 'gila-gila', dan dapat dirasakan seakan pasangan hidup yang sebenar. Dari segi percakapannya, ia 'sepadan' dengan Wade yang sebagaimana kita tahu bercakap laju tanpa henti, dan seolah tanpa menggunakan otak.


Jangan dilupakan juga watak penjahat/antagonis dalam filem ini iaitu Ajax/Francis. Adakalanya beliau tampil menakutkan, adakalanya boleh jadi agak lucu juga. Pada sesetengah pendapat mengatakan watak beliau berjaya, manakala pendapat saya beliau biasa-biasa sahaja. Tak banyak yang boleh diperkatakan mengenai watak beliau melainkan beliau sama lincahnya dengan Deadpool, memiliki kekuatan luar biasa namun tidak mempunyai kuasa penyembuhan yang sama.


Ada dua watak penting lain yang membantu pembinaan jalan cerita dalam Deadpool iaitu lelaki berbadan logam si Colossus yang terlalu banyak bercakap perkara positif dan Negasonic Teenage Warhead (Really bro? Nama tak boleh catchy lagi ke?).


Dalam Deadpool Negasonic Teenage Warhead digambarkan sebagai perempuan yang memiliki kuasa letupan/gelombang api, seperti bom versi manusia, cuma beliau tidaklah meletup. Errr.. boleh faham kan?


Kesimpulan

Secara ringkasnya, kalau anda berasa hendak ketawa dengan puas, pergilah tonton Deadpool. Kalau anda rasa hujung minggu anda 'biasa-biasa' saja dan boleh luangkan masa dengan tidur, silakan. Tapi jangan cakap abang tak payung review!


Powered by Blogger.