Editorial : Bolehkah Rakyat Malaysia Hidup TANPA ASTRO? Bagaimana Caranya?

Rakyat Marhaen Boleh Hidup Tanpa Astro

Sebelum kita meneruskan perbincangan, jom lihat dahulu apakah contoh rancangan berbayar yang 'dipegang' oleh Astro:
Hak eksklusif ASTRO:
Memegang hak eksklusif penyiaran kandungan perlawanan bola sepak utama seperti Piala Dunia, Euro Football, Olimpik dan sebagainya. 
Memegang hak eksklusif rangkaian antarabangsa: Movies Channels (HBO, Star Movies, berita (CNN, BBC News, CNBC) rangkain rancangan dokumentari (discovery, National Geographic, Animal Planet, History Channel) dan sebagainya. 
Memegang hak eksklusif kandungan tempatan Melayu, India, China (Kantonis, Hokkien) dan dalam pelbagai platform (seperti menerusi DTH, IPTV dan sebagainya).
Memegang hak eksklusif rangkaian Movies Channel (seperti HBO, Star Movies, dan sebagainya).
DETV (Redtone – hamper kebanyakkan kandungan berbahasa Cina) – menerusi platform IPTV.
TM (29 rangkaian luar negara, tempatan, rangkaian Free To Air dan lain-lain) – Platform IPTV
Lain-lain (Select TV) – Platform IPTV.
Sumber rujukan : TabuanMas



Zaman Berjimat-cermat

Terimalah hakikat, melainkan anda adalah Dato' Seri Vida ataupun Dato' Aliff Syukri, ini adalah zaman di mana kita perlu berjimat-cermat. Ini bukan lagi zamannya setiap helai Ringgit Malaysia yang ada dalam dompet boleh dibelanjakan sewenangnya. Saya juga marhaen seperti anda.

Saya juga terasa himpitan ekonomi 'kontemporari' yang menekan.


Hobi Menonton & Alternatif

Siapa di sini antara kita yang sangatlah kerap menonton TV? Berapa jam sehari dihabiskan oleh anda untuk menonton? Berapa pula bayaran siaran langganan yang anda terpaksa bayar setiap bulan untuk menikmatinya?

Anda lihatlah sahaja pada gambar pakej ASTRO di atas. Harga bagi pakej yang HANYA mempunyai 'Malay Packs' bermula 'semurah' RM188.68. Manakala untuk 'Superpack Plus 4' pula iaitu sebuah pakej yang mempunyai semua rancangan premium/berbayar adalah RM241.68.

Kalau betul-betul anda berkomitmen dan komited membayarnya, maka dalam setahun anda telahpun membelanjakan sebanyak RM2900.16 untuk menonton televisyen, yang mana boleh dikatakan cuma beberapa jam sahaja sehari, itupun bukan semua saluran anda nikmati! Dah tentulah hanya satu-dua atau maksima bagi diri saya sendiri pun dalam 5 saluran sahaja yang betul-betul saya tonton. Manakala saluran yang lain hanyalah digunakan untuk bermain skip-skip-skip. Tak tahulah kalau anda boleh tonton semua ratusan saluran tersebut. Errr.. ada ke orang macam tu melainkan pesara?

Ya, memang ada 'pakej bajet' a.k.a MURAH dalam Astro, tetapi rancangan apa sahaja yang ada dalam tu? Katanya 40 'channel', tetapi apa sahaja yang ada? Anda boleh rujuk pada gambar di bawah:


Daripada kesemua 40 saluran tersebut, berapa banyak yang betul-betul anda BERMINAT untuk tonton setiap hari? 1? 2? 5? Atau, boleh dikatakan TIADA?

Maksud saya, come on lah, setakat nak tengok berita di TV1, TV2, atau TV3, lebih baik tak perlu melanggan apa-apa pakej. Hanya gunakan siaran percuma melalui Astro NJOI pun sudah lebih dari cukup rasanya. Atau kalau nak lebih bajet gunakan sahaja antena televisyen old-school tu, JIMAT! Hahahah.. Ok-ok, serius semula.




Apa Yang Anda Perlukan?

1. Chromecast (beli cuma perlu sekali seumur hidup).

Tapi Chromecast ni pada saya cuma 'opsyen' sahaja, ianya tidak wajib dalam tips ini. Cuma kalau ianya ada, lebih BAGUS.

2. Akaun khidmat penstriman (akan dibincangkan di bawah).

Apakah kegunaannya? Ia akan digunakan untuk menggantikan kesemua rancangan kegemaran yang anda biasa tonton di Astro, kepada apa yang akan anda tonton secara dalam talian. Lebih mudah kerana tak terikat dengan waktu yang ditentukan oleh Astro.

3. Otak untuk berfikir.

Kalau ini tiada, maka tiada gunalah anda teruskan lagi pembacaan. Berhenti sahaja di sini. Eheheh..

4. Skybox/Openbox/Androidbox/Myiptv (ikut suka, ini terpulang kepada mana satu yang anda minat).

Ini pun 'opsyen', bererti kalau ada lebih BAIK. Saya ni bukan jenis nak menggalakkan PIRACY sangat pun (lanun cetak rompak kerja orang lain), tetapi keadaan ekonomi sekarang sangat teruk. Segala alternatif yang ada hendaklah dimanfaatkan, tambahan lagi untuk menggantikan Astro. Kita kena ada khidmat lain yang memecahkan monopoli/sistem kapitalis ini. Sampai bila nak jadi hamba kepada syarikat kapitalis?

Masalah sekarang alternatif yang ada bukan dari syarikat rasmi seperti Astro tersebut, yang ada hanyalah alternatif  'ala' lanun seperti Skybox, Openbox, Parabola, Paragliding, Para-para Sakura, dan juga Paracetamol. 

5. Wajah yang kacak/cantik. Ok gurau je, akhir sekali - internet tanpa had.

Saya menggunakan Maxis Fibre Internet, 20Mbps. Tapi kalau anda dapat cari servis yang lain, yang lebih baik, lebih murah, silakan. Saya tak akan ajar anda bab ini. Terpulang nak cari servis 'bawah tanah' atau servis rasmi. Gunakan akal anda yang ada.

Elaborasi

Terimalah jua hakikat, bahawa semua yang ada dalam Astro itu (selain siaran langsung hiburan atau sukan) adalah merupakan siaran-siaran ULANGAN. Untuk filem pula, kalau ada yang 'fresh' pun hanyalah Astro First, itupun tetap boleh dicari alternatif kepadanya (untuk mereka yang sukar hendak pergi menonton wayang). Itu kita akan bincang kemudian.

Jadi, untuk setiap siaran filem-filem atau drama-drama yang kerap diulang-ulang itu, apakah gantian terbaik yang boleh kita dapatkan? Jawapan mudah, khidmat penstriman.

Strim, contoh paling mudah untuk faham, YouTube. Cuma YouTube itu satu khidmat dalam 'kategori' lain.



Servis penstriman pertama yang ingin saya ulas ialah Netflix. Saya merupakan pengguna 'tegar' Netflix sejak ia mula 'masuk' ke negara kita ini. Dengan adanya Netflix, TV sentiasa dalam keadaan 'off'. Saya tidak perlukan televisyen pun untuk menonton semua rancangan kegemaran saya, terutamanya Daredevil. Anda tahu bukan, yang Daredevil adalah sebuah rancangan 'Netflix Original'? Waktu musim pertama dan kedua, kedua-dua musim dilepaskan semua sekali video-videonya, satu musim sekaligus. Demam kepialu dibuatnya. Tapi memang puas hati apabila dapat menonton tanpa perlu menunggu siri Daredevil setiap minggu.

The Flash juga ada di Netflix, cuma mungkin kena tukar IP kepada US barulah dapat menontonnya (saya pun dah lupa sebab sejak bertukar kepada iflix, saya hanya gunakan iflix sahaja buat sementara waktu ini).


Buat masa ini saya menggunakan iflix dek kerana dapat ia secara percuma. Langganan selama 12 bulan ini harus digunakan sebaik yang mungkin. Tapi kalau kena langgan pun ianya cuma RM10 sahaja sebulan. Sangat berbaloi untuk 'kaki DVD'.




Servis-servis lain yang boleh digunakan sebagai ganti kepada Astro ialah HBO Go, Hulu, DirectTV dan lain sebagainya. Ambil perhatian, kesemua servis di atas memerlukan anda untuk menukar alamat IP anda kepada US, melainkan hanya Netflix dan iflix sahaja yang boleh dilanggan oleh pengguna dari Malaysia.

Macam mana caranya? Gunakan bahagian carian (search bar) di atas blog ini untuk mencari kaedahnya dengan kata kunci 'OpenVPN', 'SSH Tunneling', atau 'DNS Tunneling'. Semuanya saya sudah tuliskan pada tahun-tahun sebelum ini.

Apabila sudah ada akaun penstriman filem/drama seperti di atas, lebih seronok menontonnya di televisyen bukan? Untuk itulah anda perlukan Chromecast. Bagaimana cara menggunakan Chromecast? Sila cari tutorialnuya di YouTube. Kalau ada masa saya cuba tuliskan kemudian nanti ya.

Mencari Perasaan Menonton Seperti Astro

Baiklah, setelah semua alternatif ini anda cuba, mungkin anda rasa, anda hendak sesuatu yang lebih natural atau 'native', seperti Astro. Maklum sajalah, terkadang hati akan mula juga rindukan Maharaja Lawak Mega, dan lain-lain rancangan kegemaran versi 'Melayu' di Astro. Maka di sinilah gunanya Skybox atau Androidbox yang telah saya sebutkan di atas.

Ia boleh dijadikan sebagai alat gantian untuk Chromecast, kerana ia semua dalam satu (Androidbox). Walaupun sesetengah blogger IT tidak 'berani' untuk menulis perkara ini secara penyampaian terus seperti ini, saya sarankan anda mula cuba beralih kepada Skybox atau Androidbox untuk menggantikan servis Astro.

Selain lebih MURAH, ia juga mengandungi kandungan yang lebih BANYAK. Bukankah itu yang kita cari dan mahukan dari Astro tetapi tidak dapat?

Alternatif Lanun, Lanun Alternatif

Selain khidmat penstriman di atas, ada juga 'khidmat ala lanun' iaitu Popcorn Time dan Cinema Box. Tak lupa juga Stream It! dari The Pirate Bay. Cuma alternatif versi ini saya tidak beberapa galakkan kepada para pemula (newbie) dek kerana ia terdedah kepada risiko diceroboh oleh penggodam yang sangat mahir. Nak cuba juga, boleh! Saya tak marah pun! Tapi saya meletakkan penafian bahawa saya hanya memperkenalkan sahaja, segala risiko ditanggung sendiri oleh anda.

Konklusi

Konklusinya mudah, bergeraklah ke kedai gajet berhampiran dan carilah semua yang saya sebutkan di atas. Mula bertindak dari sekarang untuk mengalami penjimatan terbaik yang pernah anda lakukan seumur hidup. Mungkin hari ini anda berasa janggal, namun esok lusa apabila janggal itu telah hilang, anda akan mula tersedar yang anda sudah tidak rindu kepada Astro.


Powered by Blogger.