Program Bacaan Al-Quran Serentak Seluruh Dunia Menerusi World #QuranHour


Pada 11 September ini, untuk julung kalinya akan diadakan satu program bacaan Al-Quran secara serentak di seluruh dunia melalui sebuah program yang digelar sebagai World #QuranHour, bertemakan Cinta dan Syukur, mulai jam 9 pagi dan akan berlangsung selama satu jam.

Menurut Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Malaysia, Hussamuddin Yaacub, program ini merupakan satu kronologi rentetan kejayaan program terdahulu iaitu #MalaysiaNgaji yang telah dianjurkan pada tahun 2013.

Menurut beliau lagi, World #QuranHour merupakan satu inisiatif dalam memupuk ummah yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran serta diharap menjadi satu platform solidariti umat Islam seiring meraikan kitab suci itu pada peringkat tertinggi.

Penyertaan Dari 117 Negara

"Setakat ini 117 buah negara dan ratusan persatuan serta gabungan Muslim
daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah memberi maklum balas positif untuk menyertai program ini selain turut menjangkakan penyertaan daripada kesemua 57 negara anggota OIC (Pertubuhan Muktamar Islam).

"Di India sahaja kita dimaklumkan seramai lapan juta rakyat negara itu akan
sama-sama membaca al-Quran dalam tempoh berkenaan," katanya dalam sidang media selepas sesi perbincangan bersama perwakilan agensi media lain berkaitan penganjuran World #QuranHour.

Sementara itu, Pengerusi agensi berita Bernama, Azman Ujang berkata Bernama akan membantu mempromosikan World #QuranHour bagi menarik seramai mungkin penyertaan umat Islam dari dalam dan luar negara.

Kerjasama Dari Agensi

Selain Bernama, pelbagai agensi media tempatan lain juga bersetuju dan menyatakan komitmen mereka untuk kempen program World #QuranHour termasuk Astro, Kumpulan Media Prima, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV Al Hijrah, Kumpulan Utusan, NSTP Group dan Kumpulan Media Karangkraf.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga penganjur #MalaysiaNgaji, Marhaini Yusoff berkata edisi sulung World #QuranHour akan melibatkan beberapa lokasi "hotspot" untuk bacaan al-Quran berkumpulan.

Beliau berkata, di negara ini program itu akan diadakan di lokasi utama
iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, dengan kesemua 14 negeri lain turut menganjurkannya di lokasi tertentu melibatkan gabungan pelbagai pihak termasuk perseorangan dan berkumpulan.

"Tarikh 11 September merupakan musim menunaikan ibadat haji dan di dalam kalendar Islam ia jatuh pada 9 Zulhijjah jadi semestinya Padang Arafah di Makkah merupakan lokasi tumpuan bagi jemaah haji Malaysia dan negara lain bergabung menyertai kempen ini di peringkat antarabangsa.

"Beberapa selebriti termasuk penyanyi yang terkenal dengan lagu berkonsep ketuhanan iaitu Maher Zain juga akan terlibat dalam program ini nanti," katanya.

Sumber Berita : Mediacorp


Powered by Blogger.