Tips Fotografi Mobil - Fotografi Menggunakan Telefon Pintar


Semenjak telefon pintar sudah mula mempunyai kamera di belakangnya dahulu, teknologinya telah berkembang pesat menjadikan ia sebagai 'kamera pantas' untuk sesuatu kejadian yang berlaku tiba-tiba, dan ketika itu DSLR pula jauh dari capaian. Maka kamera telefon pintar adalah sasaran. Meskipun belum mampu menggantikan DSLR secara sepenuhnya, namun tidak dapat dinafikan, kemajuan yang ada membolehkan peminat fotografi mengambil gambar lebih baik dari suatu masa dahulu, iaitu dengan kamera 2MP - siapa masih ingat Nokia 3200?


Berikut saya senaraikan beberapa tips untuk fotografi mobil, yang boleh digunakan dalam situasi seharian. Boleh jadi ia sesuai dibuat, boleh jadi juga suatu hari nanti ia akan luput, oleh itu gunakanlah mana-mana tips yang sesuai pada waktunya.

1. Aplikasikan 'Photography Rules' Ataupun Komposisi Yang Baik Kepada Gambar.

Contohnya Rule of Thirds, Rule of Odds, Rule of Space, Leading Lines, Golden Ratio dan sebagainya. Jangan dilupakan untuk aplikasikan ia, kalaupun bukan kesemuanya sekali (mestilah kan), aplikasikanlah Rule of Thirds sekurang-kurangnya.

2. Jangan Zoom

Melainkan telefon anda mempunyai optical zoom, maka elakkanlah daripada menggunakan zoom kerana digital zoom hanyalah 'membesarkan' imej sedia ada supaya tampak seperti dekat.

3. Elakkan Flash

Kebiasaannya apabila menggunakan 'flash' (yang sebenarnya hanyalah lampu LED), ia tidak mampu mendapatkan hasil gambar yang diingini disebabkan oleh durasi 'flash' yang agak panjang. Jadi gambar yang diperolehi kebiasaannya kabur dan mempunyai kadar kecerahan tidak seperti yang diharapkan.

Oleh itu sekiranya dapat, cubalah gunakan cahaya semulajadi, atau lain-lain sumber cahaya yang membantu anda dalam menghasilkan imej yang lebih berkualiti. Jangan terlalu ikutkan strategi pasaran yang kerap kali cuba mempopularkan 'lowlight photography'.

Kalau dah 'tak dapat sangat', maka flash yang ada pada telefon anda adalah pilihan paling akhir sekali.

4. Gunakan Alat Bantuan Penambahbaikan

Lensa ekstra untuk membantu anda mendapatkan gambar yang lebih 'ekstrim' seperti lensa 'makro', adalah antara contoh alat bantuan penambahbaikan kepada kamera telefon anda. Fotografi makro menggunakan telefon bukan perkara baru, dan adakala lensa DIY juga banyak membantu pengguna.


5. Pastikan Lensa Bersih

Telefon anda ada 'cover', 'casing', dan lain-lain yang melindunginya daripada kotor, tercalar atau lebih teruk lagi retak/pecah. Namun lensa telefon anda sentiasa terdedah kepada kesemua di atas. Jadi, sebaik-baiknya apabila sebelum anda hendak mula menggunakan kamera, terlebih dahulu bersihkanlah lensa dengan kain, supaya hasil gambar nanti tidaklah kabur dan kualitinya juga berada pada tahap maksimum.

6. Rekod Video Melintang

Ya ampun, tolonglah, kalau nak rekod video, silalah rekod secara melintang. Saya tak pasti apa penyakitnya dengan mereka yang suka rekod menegak. Video menegak hanya akan 'merosakkan' suasana dalam video dan juga kualiti dalam penyampaiannya. Jadi, jangan buat!

7. Gunakan Fokus Manual

Diakui, fokus auto sememangnya membantu, namun adalah lebih cepat jika anda menggunakan fokus manual. Gunakan jari anda, halakan fokus pada subjek, dan klik.

8. Ambil Dulu, Sunting Kemudian

Terdapat detik-detik atau 'moment' yang jarang didapati, tetapi seringkali anda boleh terlepaskannya kerana sibuk mencari terlebih dahulu 'filters'. Kalau boleh elakkan, ambil gambar dahulu, dapatkan detik yang menarik dan sunting ia kemudian. Banyak aplikasi yang baik boleh digunakan, seperti Snapseed, Aviary, Pixlr, dan sebagainya.

9. Cari Dan Guna Aplikasi Kamera Berbeza

Bukan hanya untuk mendapatkan kelainan, tetapi juga untuk memaksimumkan kebolehan dan ciri yang ada pada sesetengah telefon pintar, seperti gambar berformat RAW, mode manual, HDR, dan lain-lain lagi.

10. Gunakan Tripod

Pada kebanyakan masa, kita boleh ambil gambar hanya dengan tangan (yang bergegar tentunya) - tiada masalah. Namun ada antara situasi adalah lebih baik sekiranya anda menggunakan tripod, supaya anda dapat mengelakkan gambar daripada menjadi kabur, atau jika anda 'bermain' dengan long exposure ataupun light trails, ianya terhasil dengan begitu sempurna.


Powered by Blogger.