Maaf sila aktifkan javascript.

Ulasan Filem Interchange: Cult, Ritual Reinkarnasi, Siluman, Ini Bukan Filem Adaptasi Novel Picisan

Gambar kredit kepada stail.my

Pintu panggung dibuka, masuk saja ke panggung dan duduk di tempat, panggung masih kosong. Bila iklan dah hampir habis, panggung masih belum penuh. Dianggarkan dalam 1/10 sahaja jumlah kehadiran penonton ketika itu.

Kurang pasti mengapakah sambutan terhadap filem ini kurang hangat. Adakah promosi yang kurang, tiada lagi penonton trailer di YouTube, atau penonton sememangnya telah hilang kepercayaan terhadap kualiti filem Melayu?

Apapun sebabnya, saya tetap menghabiskan tontonan.

Melihat kepada karya-karya Dain Said sebelum ini iaitu Dukun (2007) yang tidak dilepaskan untuk tayangan, serta Bunohan yang sememangnya penuh dengan aksi, berbeza dengan pengarahan filem cliche lainnya, menjadikan saya tidak berfikir dua kali untuk pergi menonton Interchange.

Sinopsis dan perincian filem:

- Interchange adalah filem bertema jenayah-noir-fantasi membawa kisah seorang jurugambar forensik bernama Adam. Rencam kerjayanya melihat mangsa-mangsa tidak berdosa dibunuh menemukan dia dengan Detektif Man yang sedang melakukan siasatan terhadap beberapa siri pembunuhan mengerikan di Kuala Lumpur.

Sewaktu menyiasat satu kes pembunuhan mengerikan, Adam bertemu seorang gadis bernama Iva. Persahabatan dijalin memberi satu harapan baru dalam hidup Adam selepas mereka jatuh cinta.

Konflik muncul apabila Iva mendedahkan dia adalah bomoh berasal dari Borneo yang sedang mencari jati diri suku kaumnya yang telah terperangkap dalam kaca negatif selama 100 tahun. Adam membantu Iva dalam usahanya untuk mati dalam keadaan tenang. Hal ini membawa Adam ke dunia Iva yang cukup gelap.

Penggambaran dilakukan sepenuhnya di Lembah Klang, antaranya sekitar Bukit Bintang dan Chowkit pada bulan Mac dan April tahun lepas. Interchange hanya mengambil masa selama 36 hari untuk diarahkan tetapi proses suntingan dan proses-proses produksi mengambil masa sedikit lama kerana melibatkan proses kesan khas yang rumit. - Sumber

Menarik bukan?

Spoiler Alert - Jangan Baca Kalau Masih Belum Tonton

Barangkali atas sebab-sebab promosi yang kurang mantap, Interchange kurang juga mendapat sambutan dari kalangan penonton. Sayang seribu kali sayang, kerana genre filem Melayu seperti ini jarang sekali keluar.

Filem ini membawakan jalan cerita yang agak berat, dan sarat dengan penceritaan sejarah di Borneo.

Segala-galanya bermula dari perbuatan pengembara Eropah yang mengambil gambar-gambar suku kaum Borneo dan ianya ibarat satu bentuk 'sumpahan'.

Mereka mempercayai bahawa perbuatan mengambil gambar tersebut dapat membuatkan roh mereka terperangkap dalam kepingan negatif. Atas sebab itu, 'mangsa-mangsa' dari perbuatan ini melakukan pembersihan dengan mandi di sungai.

Namun apa yang tidak mereka sedari, perbuatan itu juga diabadikan dalam bentuk gambar (tak pastilah siapa yang mengambilnya). Dari situ, sumpahan kembali bermula.

Ini adalah mengikut pemahaman saya.

Setelah itu, dukun yang bertanggungjawab ke atas suku kaum ini telah berusaha membebaskan roh-roh yang terperangkap dengan cara pembunuhan ke atas individu-individu memiliki wajah yang sama dengan mereka yang telah dirakam.

Dukun tersebut - adalah Iva, dan Adam juga terselit dalam konflik ini untuk menutup upacara pembebasan jiwa. Nicholas Saputra pula bertindak sebagai pembantu dan juga pemegang kepada roh-roh tersebut. Mereka yang terperangkap 'diwakili' dengan seekor burung kecil, setiap seorang. Nicholas boleh diibarat sebagai penjaga semangat kepada suku kaum, dalam jelmaan seekor burung hibrid.

Di akhirnya, mereka 'lahir semula' sebagai burung kecil tersebut yang kemudiannya berterbangan bebas ke awanan.

Kesan Visual

Dari segi kesan visual, tiada apa yang dapat saya rungutkan. Dek kerana ia tidak membawa sesuatu unsur yang memerlukan heavy graphics ala Transformers, oleh itu apa yang ditonjolkan adalah secukup rasa.

Kesan visualnya mungkin tidaklah sehebat Transformers atau sepadu The Avengers, tetapi ianya cukup untuk menyampaikan visualistik acara mistik dan ritual yang sedikit asing dari pemikiran.

Jalan Cerita

Ya, skop dan jalan cerita yang dibawa oleh filem ini seperti yang saya katakan tadi, adalah sedikit berat dan sarat dengan sejarah - inspired from the true event (dari apa yang saya faham lah).

Apa yang boleh dihadamkan, adalah kematian merupakan sebahagian dari proses pembebasan jiwa/roh/semangat dan intipati filem ini adalah 'itu', ia merupakan kunci untuk meringankan minda bagi memahami dengan lebih mudah.

Diakui, masih banyak yang ingin saya komen tentang filem ini, tetapi genre berunsur 'noir' agak baru dalam arena perfileman Melayu/Malaysia dan saya masih cuba menghadamkan ia.

Mungkin pada orang lain ianya sudah lama, tetapi kena ingat berapa banyak filem Melayu yang established dengan rekod pecah panggung, apatah lagi bertemakan gelap seperti ini dalam tahun-tahun sebelumnya? Tak banyak bukan.

Dalam jumlah yang tidak banyak itu juga ada berapa kerat sahaja yang saya pergi tonton. Itu faktanya.

Proposisi dan Konklusi

Mungkin filem Melayu masih belum lagi mendapat kepercayaan dari para penonton untuk terus menonton di panggung wayang, meskipun ianya cukup mendapatkan minat para pemuat turun tegar untuk memuat turun ia secara haram di blog-blog yang 'senang buat duit'.

Namun filem Interchange adalah sebuah pemangkin kepada evolusi yang diperlukan kepada filem Melayu. Kita memang terikat dengan agama, tetapi ia tidak membataskan kita kepada berkarya dengan penuh elemen mistikal.

Mana mungkin wujud manusia seakan labah-labah, tetapi Hollywood tetap membuat filem The Amazing Spiderman, dan itulah kotak yang patut kita koyak untuk membantu filem Melayu berevolusi menjadi semakin menuju ke arah Hollywood dari segi sinematografi, kesan visual, CGI dan sebagainya tetapi masih mengekalkan unsur kemelayuan yang jitu.
Powered by Blogger.