Maaf sila aktifkan javascript.

Headshot: Ini Filem 'John Wick' Versi Indonesia, Versi Iko Uwais!


Dalam sejarah perfileman aksi/thriller, The Raid dan The Raid 2 telah melakar bahawa kedua filem ini telah menjadi kayu ukur kepada filem-filem yang akan dihasilkan seterusnya - tidak kiralah dari negara mana sekali pun.

Tidak salah kalau saya katakan, bahawa The Raid dan The Raid 2 mempunyai kesemua elemen filem yang lengkap, dari jalan cerita yang mantap, aksi yang super-hebat, dan barisan pelakon yang amat berbakat dalam seni beladiri.

Oleh itu, apabila menonton Headshot lakonan Iko Uwais, Chelsea Islan, dibantu oleh Julie Estelle, Very Tri Yulisman, serta ketua kongsi/penjahat/ayahanda dari neraka iaitu Sunny Pang sebagai Lee - fikiran ini tidak lepas dari cuba membandingkan ia dengan kedua filem tersebut.

Namun ternyata, Headshot mempunyai kelebihan, keunikan, dan ciri tersendiri yang paling utama boleh dilihat, iaitu filem ini menonjolkan sisi 'benar' sebagai manusia, yakni pancutan darah, lebam-lebam, dan kepatahan tulang.


Saya enggan mengulas panjang mengenai jalan cerita, kerana pada saya jalan ceritanya adalah direct-to-the-point, tiada plot twist melampau yang mampu membuat penonton berkata 'wow'.

Sejak dari awal lagi penonton sudah boleh mengagak identiti Ishmael atau nama panggilan beliau dalam kumpulan pembunuh adalah sebagai Abdi. Beliau mengalami amnesia setelah tercedera di kepala akibat terdapat 'sesuatu' yang tertinggal dalam tengkoraknya. Seterusnya beliau diselamatkan oleh seorang jururawat cantik meletop, yang memberikan rawatan setelah Ishmael/Abdi dibawa ke hospital oleh nelayan yang menjumpainya di pantai (Pakcik Romli).

Kalau dalam filem John Wick, John mencari dan membunuh kesemua ahli kumpulan kongsi yang telah mencederakannya dan membunuh anjing pemberian mendiang isterinya, dalam filem Headshot, Ishmael @ Abdi mencari dan membunuh kesemua bekas rakan-rakan kumpulan, dalam usaha mencari dan mendapatkan kembali jururawat yang pernah menyelamatkan nyawanya itu, iaitu Ailin.


Filem ini ada sedikit 'feel' Ong Bak, iaitu dalam filem Ong Bak, Ting mencari kepala patung Budha yang dicuri, manakala filem Headshot, Ishmael mencari Ailin yang diculik.

Kedua-duanya sama, penyampaian jalan cerita direct-to-the-point, dan pembawakan jalan ceritanya juga lebih kurang sama. Bunuh kesemua yang berbaki termasuklah ketua penjahat sendiri yang pernah membesarkan mereka.

Filem ini tidak akan meninggalkan anda lama dengan intro leleh yang tidak signifikan. Jangan bimbang, kerana di awal filem sudah terdapat aksi bunuh, pancutan darah di merata-rata tempat, dan adegan tembak-menembak yang mendebarkan.


Tidak keterlaluan jika dikatakan Headshot juga menggunakan 'kaedah' penggambaran shaky cam, namun ianya tidaklah melampau seperti filem J Revolusi hingga menjejaskan apa yang sedang cuba disampaikan dalam setiap babak.

Kalau pun ada yang agak 'fancy' ialah kamera berpusing 360 darjah sewaktu pertempuran sedang berlangsung. Tetapi apa yang pasti setiap adegan pertempuran meskipun kameranya tidaklah begitu 'steady' seperti filem The Raid/Raid 2, babak yang cuba ditonjolkan dalam filem ini, iaitu sisi gelap 'blood bath' dan 'mindless gore' berjaya dipaparkan dengan baik.


Apapun, mungkin sesetengah orang akan berkata Headshot yang diarahkan oleh  Timo Tjahjanto dan Kimo Stamboel ini belum mencapai tahap penanda arasnya iaitu The Raid/Raid 2, namun pada saya apa yang cuba disampaikan, iaitu keganasan pada tubuh badan manusia, dari pancutan darah hinggalah kepada patah tulang, telah pun sukses sekali diceritakan.

Jalan cerita yang terus - tanpa plot twist yang mencetuskan persoalan di kepala, adegan tempur yang mendebarkan, serta pelakon wanitanya yang badass (Julie Estelle), amatlah boleh dipuji.

Nota: Tahniah juga kepada Bront Palarae kerana telah bersama-sama menjayakan filem ini dengan watak sebagai anggota polis.
Powered by Blogger.