Maaf sila aktifkan javascript.

The Return of Hackim Si Penggodam: Permulaan Kepada Sebuah Pengakhiran [Prolog]


Sebenarnya, telah lama Hackim tidak lagi mengambil tahu apa-apa lagi tentang 'godam' atau apa-apa jua yang berkaitan dengannya. Ini dek kerana setelah Hackim mula mendapat kerja dalam sebuah jabatan kerajaan, dia terpaksa memperlahankan semua aktivitinya.

Bagi Hackim kehidupan semasa zaman persekolahan dahulu yang penuh dengan aktiviti-aktiviti 'Black Hat' terpaksa dilupakan, walaupun hati sedikit memberontak. Menjadi seorang penjawat awam memaksanya menyimpan kemahiran yang ada padanya, kerana kalau diketahui orang, akan menjadi sukar pula untuk Hackim cuba untuk melakukan 'apa-apa' sekiranya nanti keadaan memerlukan.

Hackim selalu berseorangan dalam apa juga yang dibuat olehnya. Dia lebih senang begitu, meskipun ada juga rakan-rakan yang setempat kerja dengannya selalu mengajak Hackim untuk ke mana-mana, Hackim lebih rela menjadi 'lone wolf', kerana sepanjang hidupnya sebelum berkerjaya, dia sering kecundang apabila melakukan kerja-kerja secara berkumpulan.

Barangkali ada antara prinsip hidup Batman yang telah meresap ke dalam dirinya.

Namun itu semua berubah apabila Hackim menerima satu panggilan telefon misteri.

"Assalamualaikum encik Hackim. Saya Saiful, wakil Professor Arif diarahkan untuk menghubungi Encik Hackim", suara yang serak-serak basah itu memulakan bicara.

"Waalaikumsalam, Profesor Arif? Siapa tu ya?", Hackim tertanya-tanya siapakah gerangan Professor yang sedang 'mencari' dirinya.

"Saya harap encik Hackim boleh lapangkan mana-mana hari, sebab kami akan pergi berjumpa dengan encik dalam tempoh waktu terdekat ni".

"Ehh, tapi kenapa? Korang ni siapa? Kenapa nak jumpa saya pula?", Hackim berasa sedikit cemas dan berang dengan kenyataan santai dari Saiful itu, seolah menyatakan seakan tiada apa yang patut dicemaskan.

"Baiklah encik Hackim, encik boleh tunggu di rumah sahaja, atau di pejabat. Kita akan berhubung lagi. Saya harap encik tak ke mana-mana selain dua tempat ni ya. Professor Arif amat menantikan kehadiran encik dalam team kami".

"Terima kasih encik Hackim atas kerjasama", Saiful mengakhiri 'perbualan' antara keduanya, lantas terus menamatkan panggilan.

"Ehh nanti! Apa ni? Saya tak tahu apa-apa! Apa hal? Kenapa nak berjumpa dengan saya pula? Encik Saiful! Oiii!", Hackim membentak marah. Nampaknya ada satu bentuk konspirasi aneh yang mengenali dirinya, seraya memerlukan kehadiran dirinya di 'sana', yang entah di mana.

"Ahh, apa pula ni. Tak pernah-pernah pula ada situasi macam ni. Tak sedap hatilah pula. Hmmm", Hackim sekadar bermonolog dalam hati. Kusut-masai akal fikirannya berantakan memikirkan.

Hatinya sedikit sakit, dan juga berdebar dalam masa yang sama dek kerana dirinya kini 'dikehendaki'. Dikehendaki barangkali oleh sebuah organisasi. Organisasi nan misteri.

Bersambung..
Powered by Blogger.