Maaf sila aktifkan javascript.

Lebuhraya Ke Neraka: Sebuah Naskhah Spiritual Terbaik Dari Mamat Khalid


"Filem seram arahan Mamat Khalid ini mengisahkan tentang sekumpulan anak-anak muda yang sukakan motor berkuasa tinggi dan gemar mengembara merentas desa. Nama kumpulan mereka ialah Rentaz. Ketika dalam satu konvoi ke Betong Siam, mereka telah dibawa ke alam barzakh atau halusinasi dalam alam koma."

Itulah dia, sinopsis kisah yang ingin diceritakan dalam filem Lebuhraya Ke Neraka, oleh Mamat Khalid selaku pengarah.

Sebenarnya saya dah putus asa dengan filem Melayu. Harapan sudah mati sejak Cicakman 3 lagi. Ramai pengarah hendak untung dari filem mereka, tetapi mutu kepada hasil kerjanya adalah tidak seperti yang diharapkan - namun dalam masa yang sama berharap orang Malaysia pergi menonton wayang untuk menyokong filem mereka.

Tetapi itu bukan stail Mamat Khalid.

Karya-karya beliau meskipun banyak bertema old-school cinematic, namun ia adalah Manikam yang dicari dan ditunggu-tunggu.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah misalnya, tak jemu ditonton walaupun sudah berkali-kali diulang. Harapnya waktu Hari Raya tahun ini ia akan ditayangkan sekali lagi di TV3.

Tidak dapat dinafikan, saya hadir ke majlis 'wayang pacak' alias pra-tonton Lebuhraya Ke Neraka dengan penuh prejudis!

Namun itu semua menjadi sejarah, sebaik sahaja Khir Rahman muncul. Maaf abang Awie, anda memang pelakon utama yang sangat baik untuk filem ini, namun 'main star' pada saya adalah saudara Khir Rahman.

Lakonan beliau cukup-cukup mantap dan mengujakan. Hilang rasa mengantuk sebaik sahaja beliau muncul. Beliau tidak perlukan solekan melampau, pun sudah mampu menghadirkan rasa 'tidak selesa' dengan cara beliau memanifestasikan watak. Pada saya memek muka, gayanya, dan 'prestasi' Khir Rahman membawa watak 'Tyson' adalah luar biasa!

Bukan bererti saya menafikan watak-watak lain, jauh sekali mengecilkan peranan mereka, cuma saya rasa perlu highlight watak yang dijayakan oleh Khir Rahman dek kerana impaknya kepada keseluruhan filem adalah cukup signifikan.

Perjalanan dalam jalan cerita Lebuhraya Ke Neraka rupa-rupanya bukan biasa-biasa. CGI yang dibuat 'orang kata' bolehlah diterima, kerana ia bukan fokus utama filem ini, seperti Cicakman ataupun Hikayat Merong Mahawangsa.

Tetapi setiap plot demi plot mengajak penonton berfikir, akan perjalanan rohani yang sedang dilalui oleh watak-watak tersebut, sama ada ianya adalah perangkap dunia spiritual ataupun sememangnya mereka sedang mengalami setiap perincian peristiwa akibat 'dosa silam'.

Juga penggunaan dialog-dialog yang cukup berkesan, menjadikan filem ini sebagai sebuah hasil akhir yang perlu dimasukkan ke dalam senarai filem mesti tonton tahun ini.

Plot twist mungkin ada sesetengah penonton yang memberikan perhatian, dapat mengagak apakah sebenarnya yang sedang berlaku kepada mereka, namun secara kasar rata-rata yang menonton pada malam itu rasa terpegun dengan pemusingan 'fakta' di akhir babak-babak yang hampir kepada penutup.

Konklusi

Secara keseluruhannya, karya Mamat Khalid kali ini adalah sebuah 'emas' yang tidak perlu lagi digali kerana ia sudah berada di depan mata, namun perlu dihargai dengan cara menontonnya di panggung berdekatan.

Ia bukan karya CGI bertaraf Hollywood ala Transformers, mahupun The Amazing Spiderman, dan lain-lain filem Marvel serta DC secara umumnya (contoh). Ia juga bukan filem seram dengan elemen-elemen jump scares yang cliche, tetapi ia adalah filem seram dengan elemen spiritual-dakwah yang mampu merentap kesedaran dalam nurani.

Jangan harapkan ia terlampau seram pula, kerana itu bukan juga fokus utamanya walaupun elemen seram itu ada di mana-mana dalam filem ini. Ambil perhatian kepada jalan cerita, dan apa yang cuba disampaikan oleh Mamat Khalid secara tersirat. Mungkin ia adakah naskhah yang 'berat' buat sesetengah orang, tetapi kalau anda cuba hadamkan, nescaya berbaloilah nanti usaha tersebut.

Pesanan ikhlas saya, tontonlah filem ini, 4 Mei 2017 nanti! Anda tidak akan menyesal, kerana saya juga begitu. Harapan saya terhadap filem Melayu kembali hidup hanya kerana abang Mamat Khalid seorang! Bang, buat filem Kluang Man The Movie pulak lepas ni please. Ambil Jep jadi Kluang Man dan Shuib jadi Tiong Man.

Berikut adalah trailer bagi filem Lebuhraya Ke Neraka.

Powered by Blogger.