Maaf sila aktifkan javascript.

10 Pelayar Web Android Dengan Sokongan Proksi Dan VPN Terbina Dalaman


Waktu saya mula berjinak dengan dunia siber suatu waktu dahulu, saya hanya mengenali pelayar web Internet Explorer sahaja. Tidak pernah pun saya mengetahui akan wujudnya Firefox (pada waktu itulah).

Tetapi segalanya bermula ketika saya sedang cuba menyiapkan tugasan yang memaksa saya untuk ke cyber cafe. Tidak sangka pula mereka 'menyorokkan' Internet Explorer dan hanya meletakkan pintasan Firefox di desktop. Jenuh 'membelek' desktop mencari IE, dan akhirnya dengan muka menahan malu saya bertanya kepada pengguna di sebelah akan manakah perginya IE.

"Saya tak guna IE tu bang. Saya guna ni", kata beliau sambil menunjuk kepada pintasan Firefox di desktop saya. Saya pun klik padanya dan meskipun saya tidak beberapa menyukai paparan antaramuka Firefox yang ketika itu agak 'hodoh', saya cuba membiasakan diri dengannya.

Dek kerana itu, saya kini terpanggil untuk berkongsi dengan anda 10 pelayar web Android, yang mempunyai sokongan proksi atau VPN yang terbina secara dalaman, tidak perlu kepada aplikasi/addon luaran.

Kenapa? Kerana dengan mengenali adanya pelayar web lain selain Chrome, Firefox, dan Opera, sekurang-kurangnya pengguna dapat mencari alternatif yang lebih disukai olehnya. Semoga bermanfaat.



1. Opera Mini

Tidak syak lagi, kalau disebut mengenai pelayar web Android beserta proksi, inilah dia pelayarnya. Boleh dikatakan Opera (Mini) adalah antara perintis kepada ciri pemadatan data menggunakan saluran proksinya. Sangat disyorkan kepada mereka yang berminat menggunakan pelayar web seperti ini.


2. VPN Browser

Pelayar web ini merupakan antara kegemaran saya. Segala perubahan IP dilakukan secara automatik, yang bererti VPN diaktifkan terus tanpa perlu melibatkan perantaraan dengan penggunanya.



3. Puffin Browser Pro

Puffin Browser Pro ialah satu-satunya pelayar web dengan sokongan proksi yang saya beli. Hati terus terdetik untuk menyambarnya selepas menggunakan versi percuma. Ia sangat-sangat laju. Ternyata apa jua 'booster' yang telah ditoyolkan ke dalam pelayar web ini memberikan impak signifikan. Sangat disyorkan kepada anda.


4. Orfox + Orbot

Seperti namanya, ia adalah pelayar web Firefox namun telah dibuat modifikasi bagi memastikan ia menyokong pautan laman TOR (deep/dark web). Sangat sesuai buat yang teringin hendak memasuki laman deep web tanpa menggunakan PC.

5. Tenta

Anda boleh baca reviu Tenta pada artikel yang telah dipos sebelum ini di sini: Tenta Browser: Pelayar Web Android Dengan OpenVPN Terbina Dalaman


6. Webzilla

Pelayar web bernama Webzilla ini unik dek kerana ia juga seperti Tenta, mempunyai sokongan VPN terbina dalaman. Namun ia hanya mempunyai dua pilihan lokasi pelayan iaitu USA dan Europe. Untuk memperoleh sokongan penuh, anda perlu memuat turun dan gunakan klien VPN mereka iaitu Webzilla Unlimited Free VPN.



7. InBrowser + Orbot

Sepertimana Orfox, InBrowser juga menyokong sambungan kepada rangkaian proksi TOR melalui Orbot. Secara tepatnya, ia dan Orfox tidaklah mempunyai proksi terbina dalaman, namun tanpa Orbot, ia tidak akan lengkap. Oleh itu bolehlah dikatakan gabungan antara keduanya menjadikan ia sebagai 'satu'.



8. Unblock Website VPN Browser

Kalau diperhatikan, paparan antaramukanya tidak ubah seperti VPN Browser yang telah dijelaskan di atas. Tidak pasti siapa tiru siapa, tetapi selagi ia memberikan kita alternatif lebih baik, apa salahnya.



9. Private Browser-Proxy Browser

Untuk pengetahuan anda, pelayar web ini satu-satunya pelayar yang mempunyai langganan bulanan bagi perkhidmatan proksi mereka. Tetapi pada saya ia amat berbaloi memandangkan jumlah lokasi yang boleh dipilih agak banyak serta kelajuan yang diperolehi agak bagus.

Anda boleh lihat harga bayaran langganan bulanan seperti gambar di atas.

10. Fire.onion

Info mengenai pelayar web ini anda boleh baca pada artikel Cara Memasuki Laman Deep/Dark Web Menggunakan Telefon Pintar.

Sekian sahaja perkongsian untuk hari ini. Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan dan adik-beradik anda jika anda rasa ia menarik dan berguna.
Powered by Blogger.