Maaf sila aktifkan javascript.

KDE neon Plasma 5.10.0: Selamat Kembali, Linux


Secara jujurnya saya sudah lama 'moved on' dari Linux sejak putus asa dengan Ubuntu dek kerana segala perubahan yang pada saya tidak perlu dilakukan namun tetap diteruskan juga. Contohnya, Unity.

Unity 'hidup' sejak versi 11.04 (Natty Narwhal). Meskipun dari mula saya tidak sukakannya, dan sering menggunakan 'fallback' kepada Gnome 2 pada waktu itu, namun bak kata orang putih, 'it grew on me'. Secara perlahan-lahan.

Tetapi nampaknya ia tidak kekal begitu apabila pembangunan Unity yang mengambil masa bertahun-tahun dihentikan, dan versi seterusnya bakal menggunakan Gnome Shell sebagai persekitaran meja lalai.

Ia tidak dapat lagi diterima, dan kerana itu saya putus asa dengan Ubuntu. Benar, banyak lagi distro Linux lain, khususnya Arch Linux yang telah banyak mengajar saya selok-belok Linux. Arch dapat memberikan kepuasan kepada 'kaki tweak' dan dari mula boleh pilih apa jua jenis persekitaran meja yang diingini.

Tetapi itu tidak dapat menafikan dari fakta bahawa pembangunan Ubuntu nampak huru-hara. Dari dulu ia dinobatkan oleh penggemar/peminat sebagai pengganti terunggul kepada Microsoft Windows akan tetapi ia hanya benar buat pengguna termaju sahaja.

Rasa putus asa itu hampir membuat saya enggan mencuba kembali Linux, sehinggalah saya memuat turun KDE neon lalu merakam ia ke dalam pemacu USB.

Ini perkara pertama yang saya periksa sebaik sahaja boot ke desktop.


360MB sahaja penggunaan memori ketika melahu? Itu gila!

Rata-rata dari MATE hinggalah ke Gnome, menggunakan 500-700MB ketika melahu. Ini bererti persekitara meja Plasma ini nampaknya telah dibangunkan dengan baik hingga mampu menggunakan RAM dengan begitu hemah sekali.

Tetapi ia tidak terhenti di situ sahaja. Oh tidak, Plasma 5.10.0 adalah persekitaran meja yang sudah sangat matang berbanding Gnome itu sendiri.

Ia pantas, 'bersih', dan stabil. Itu adalah sesuatu yang sukar dikatakan dengan distro Linux kerana pengguna boleh mendapatkan distro yang pantas, tetapi belum tentu stabil.

Apa yang saya cuba katakan ialah KDE - Plasma tidak lagi 'sluggish' dan 'bloated' seperti dahulunya. Kini ia boleh dikatakan 'elementary OS yang laju namun memberi penggunanya ruang untuk pengubahsuaian berterusan'. Ya, kita tahu elementary OS memang pantas, tetapi banyak 'sekatan' di sini dan sana untuk buat apa-apa perubahan. Rimas dibuatnya.

Anehnya tidak banyak yang perlu dilakukan selepas pemasangan KDE neon. Hanya beberapa tambahan dan anda boleh terus melakukan kerja yang anda mahu.

Ia tidak didatangkan bersama perisian pejabat seperti kebiasaan distro Linux lain, jadi anda perlu pasang mana-mana perisian seperti LibreOffice atau Open Office, kerana lalainya apa yang ada hanyalah Document Viewer.


Kalau anda tanya saya, saya boleh katakan KDE neon ini adalah tersangat minimal. Sangat.

Kerana selain didatangkan dengan pelayar web Firefox, pemain video VLC, Document Viewer Okular, pengurus fail Dolphin, KDE Image Viewer, Teks Editor KWrite, secara asasnya hanya itu sahaja aplikasi yang ada. Bererti anda diberikan peluang untuk memilih sendiri aplikasi lain bagi dipasang melengkapi sistem operasi.

Bagi KDE, Software Center diberi nama sebagai Discover.


Jangan tak percaya, Discover juga lebih laju berbanding Software Center Ubuntu itu sendiri. Juga lebih stabil, tidak sesekali 'freeze' seperti kebiasaan lakunya Software Center Ubuntu. Sepanjang saya menggunakannya, pemasangan berjalan dengan laju juga - tiada lagi isu 'hang'.

KDE neon menggunakan kernel Linux versi LTS, tetapi aplikasi-aplikasinya menggunakan versi terbaru. Stabil pada jantungnya, bleeding edge pada anggota badannya.

Ibarat Arch Linux berjantungkan Ubuntu, gitu. Jangan marah peminat Arch, ia hanya metafora semata. Kalau anda hendak mudah, pasang sahaja KDE neon.


Rasanya cukup sahaja setakat ini penulisan saya. Selebihnya saya minta anda selongkarlah sendiri persekitaran Plasma ini. Mungkin untuk waktu ini saya akan terpaku pada KDE neon sehinggalah ada distro lain yang menarik hati saya untuk mencuba ia pula.

Saya jamin anda tak akan menyesal. Cuba KDE neon hari ini dan rasai perubahan KDE yang sekian lama dinantikan - pantas, stabil, dan sedap mata memandang serta boleh diubahsuai dengan pelbagai tweak yang anda sendiri tentukan.

Muat turun: KDE neon
Powered by Blogger.