Maaf sila aktifkan javascript.

Linux Mint 18.2 'Sonya' Edisi KDE: Sebuah Kesempurnaan Yang Dinanti


Linux Mint tak pernah menghampakan penggunanya. Baik apa juga versi, sama ada Cinnamon, MATE, Xfce, dan KDE.

Kali ini saya mencuba edisi KDE, yang mana menunjukkan ia membawa persekitaran meja KDE Plasma 5.8. Mungkin ia versi yang sedikit terkebelakang berbanding KDE neon yang pernah saya cuba dahulu.

Namun apabila mengenali Linux Mint, kita tahu ia pasti ada ciri yang tidak akan buat peminatnya kecewa.

Kalau anda ketinggalan terhadap apa yang menarik dengan Plasma 5.8, anda boleh tonton video di bawah.


Melihat terus kepada penggunaan memori ketika melahu,ia tidak jauh pun berbeza dengan KDE neon, yang mana hanya sekitar 300MB sahaja. Ini akan dapat banyak membantu terutamanya untuk mereka yang menggunakan RAM bersaiz kecil.


Antara komponen terpenting yang ada dalam sistem operasi Linux derivatif Ubuntu seperti Linux Mint ini dah tentulah aplikasi stor atau Software Manager.



Ianya tampak ringkas dengan kategori-kategori yang membahagikan setiap aplikasi kepada jenisnya, dan ini memudahkan kepada pengguna yang baru mengenali Linux.

Tak lupa juga jika anda pengguna baru, apa yang seronoknya tentang Linux ini ialah jika anda ingin mengemaskini sistem operasi, anda tidak perlu bimbang tentang cop mohor 'kelanunan' pada sudut kanan dekstop yang bakal menghantui diri anda apabila Windows (semestinya) sentiasa mengingatkan anda untuk mendapatkan kunci yang asli.

Jadi kita lihat pula aplikasi Update Manager Linux Mint KDE ini.

Sebelum itu, apa yang saya lakukan untuk memastikan Update Manager berjalan dengan lancar ialah dengan menukar pelayan-pelayannya kepada yang paling hampir dan paling laju melalui Software Sources.


Seterusnya, saya buka pula aplikasi Update Manager, dan wal-lah.


Sebenarnya kombinasi antara Linux Mint dan KDE (Plasma) adalah amat memberi suatu pengalaman penggunaan yang baik. Plasma, setelah berevolusi dari sebuah persekitaran meja yang 'berat', kini menjadi sepantas distro Linux yang menggunakan persekitaran meja lain.

Manakala Linux Mint pula, berbeza dengan Ubuntu, menyediakan sistem operasi yang dapat digunakan luar kotak, iaitu sebaik sahaja ia siap dipasangkan, ia boleh terus diguna tanpa perlu memikirkan lagi tentang pemacu-pemacu, codecs, mahupun aplikasi pemain media.

Secara lalai, ia sudah sediakan juga aplikasi pejabat iaitu Libre Office. Tidak menghairankan jika fail ISO-nya sedikit besar. Oh ya, GIMP juga sudah siap dipasangkan, jadi anda tidak perlu fikir panjang lagi akan senarai aplikasi yang anda mahu. Barangkali, kalau ada pun Kodi. Ehem.

Cuma yang agak terasa sedikit ralat ialah pemain videonya, iaitu Dragon Player memerlukan codec tambahan, tidak seperti pemain lainnya seperti VLC mahupun SM Player yang boleh terus memainkan video tanpa perlu kepada codec ektra.


Apapun pemasangannya tidak sukar, dan ia dapat memainkan video yang diingini tanpa ada masalah. Cuma disebabkan saya mempunyai pilihan, maka saya rasa saya akan pasang SM Player sebagai pengganti.

Cukup setakat ini sahaja reviu saya kali ini. Saya rasa anda sudah mendapat gambaran sedikit sebanyak tentang Linux Mint 18.2 'Sonya' Edisi KDE ini.

Jika anda berminat, anda boleh muat turun ia di pautan berikut: Linux Mint 18.2 KDE
Powered by Blogger.