Maaf sila aktifkan javascript.

Blade Runner 2049 : Bukan Filem Aksi



Semalam saya sempat melapangkan masa saya untuk ke pawagam setelah 3 bulan suntuk berhempas pulas menyelesaikan urusan dan persediaan majlis sambutan peringkat negeri. Hajat di hati ingin menonton filem Jackie Chan, The Foreigner. Tapi sayang, slot tayangannya sudah terhad kerana sudah berada di minggu akhir tayangan. Jadi, filem yang menarik perhatian saya adalah filem reboot dari kegemaran klasik, Blade Runner 2049.

Bagi peminat genre sains fiksyen, filem Blade Runner 2049 sudah semestinya filem yang ditunggu-tunggu. Tambahan pula, pratonton rasminya menjanjikan sebuah filem yang padat dengan aksi beserta kesan bunyi dan koreografi yang mantap. Di dalam kepala peminat genre ini sudah tentunya mula meneka dan memainkan plot-plot seumpama filem Repo-Man, Judge Dredd mahupun filem Blade. Namun, jangan kecewa, sangkaan ini meleset sama sekali.


Filem Blade Runner bagi saya lebih kepada genre penyiasatan. Anda akan dihidangkan dengan dialog demi dialog yang diisi dengan pelbagai maklumat penting. Jika anda masuk ke panggung dan mengharapkan aksi dari mula tayangan hingga ke hujung tayangan sepertimana filem daripada Marvel Studios, filem ini bukan untuk anda. Filem Blade Runner 2049 ini boleh dikatakan hanya selesa dan menarik ditonton oleh golongan peminat dan enthusiast sahaja. Saya telah pergi menonton bersama sahabat saya. Sepanjang tayangan saya telah menumpukan sepenuh perhatian terhadap setiap dialog dan plot-plot yang terbuka dan dihamparkan dengan sangat teliti sepanjang lebih kurang 3 jam tayangan. Sahabat saya pula telah terlelap sebanyak lebih daripada 5 kali. Dan setiap kali dia terjaga, mulutnya tak henti merungut dan mengatakan filem ini merugikan duit tiket wayangnya.


Pada permulaan cerita, penonton sudah mula disajikan dengan teks ringkas yang menceritakan tentang bangsa manusia ciptaan yang dipanggil "Replicant". Replicant dicipta untuk menjadi buruh dan hamba paksaan bagi memenuhi keperluan yang mendesak pada tahun 2020. Revolusi Replicant tercetus dan para Replicant memberontak bagi mendapatkan layanan sama rata seperti manusia biasa. Replicant generasi baru pula dicipta dan telah diubahsuai supaya patuh 100% dan telah diarahkan untuk menghapuskan semua Replicant generasi asal. Pada permulaan filem, Replicant generasi baru, ejen K lakonan pelakon utama Ryan Gosling telah berjaya menjejaki Replicant generasi asal yang telah dilakonkan oleh Batista. Pada pembukaan cerita penonton telah disajikan dengan aksi yang cemerlang. Dinding rumah runtuh dan tumbukan demi tumbukan dilayangkan.

Sayang sekali, setelah adegan ini, plot cerita lebih tertumpu kepada pengembaraan ejen K dalam mencari identiti dan kebenaran di sebalik generasi Replicant asal. Replicant generasi baru dicipta dan "dilahirkan" dalam bentuk manusia dewasa. Satu memori ciptaan telah dimasukkan ke dalam minda mereka supaya mereka lebih stabil. Plot bermula apabila ejen K telah terjumpa satu ukiran tarikh pada sebatang pokok iaitu 6.10.21. Ejen K telah menuruti klu ini sehingga ke akhir tayangan dan telah berjaya merungkai misteri yang bermain sepanjang filem ini.



Lontaran dialog, intonasi, pacing plot, dan ekspresi muka setiap pelakon sangat cemerlang. Ia sebuah filem yang boleh dikatakan masterpiece di dalam genrenya. Latar masa dan latar tempat telah dibina dengan teliti. Props dan ruang sekeliling telah diberi penekanan yang berkesan. Penonton dapat merasai kesesakan metropolitan dan kesan-kesan populasi lebihan. Bangunan dibina rapat-rapat dan pengiklanan tanpa batasan ada di mana-mana (ingatkan popup browser dah cukup rimas dah). Bagi peminat genre seperti ini, bagi saya filem ini wajib tonton kerana genre ini sudah semakin kurang dan jika ada pun, amat jarang hasilnya sebagus ini. Filem bergenre sebegini tidak meletakkan aksi sebagai fokus, tetapi lebih kepada dilema neorealisme dan falsafah-falsafah kemanusiaan sejagat yang dizahirkan dalam bentuk filem. Apabila keadaan mendesak kelak, adakah kita akan menggembleng tenaga mencari penyelesaian, atau meletakkan kesalahan dan beban di bahu orang lain sementara anda semua tinggal selesa di utopia masing-masing ketika hamba abdi dan buruh mempertaruhkan nyawa dalam memenuhi kehendak dan keselesaan anda?



Dari kacamata penonton kasual :

Ini pula pandangan bagi mereka yang mengharapkan filem ini penuh dengan aksi.  Filem ini kekurangan aksi menarik. Tempat yang ada adegan aksi pun cuma di permulaan filem dan hujung filem, Jika anda mengharapkan aksi berlawan, kejar mengejar, perlawanan senjata api futururistik, anda akan kecewa.

Dari segi props pula, walaupun filem ini berlatar masa masa hadapan, tidak banyak gajet yang boleh anda lihat. Ya, skrin dipenuhi dengan cahaya neon dan iklan hologram, tapi itu sahaja. Cuma satu jenis pistol sahaja yang menjadi prop filem ini. Malah, Replicant generasi asal dan generasi baru menggukan pistol yang 100% sama walaupun jarak masa generasi mereka adalah 30 tahun. Mustahil lah sepanjang 30 tahun, pistol dan rekabentuk senjata langsung tidak berubah. Bunyi tembakan pula sangat membingitkan dan tiada percikan api. Jika anda ingat, konsep pistol ini lebih kurang dengan filem Gantz yang menggunakan pistol gelombang. Namun begitu, pistol filem Gantz jauh lebih menarik dari filem ini.

Bunyi kesan khas pula dirasakan agak membingitkan telinga walhal bukanlah ketika babak aksi. Kesan bunyi sepanjang filem ini tidak berhenti demi mewujudkan suasana dan muzik berfungsi sebagai muzik latar bagi mewujudkan atmosfera bagi penonton. Bagi bukan peminat, ini menyukarkan anda terlelap dan sangat menyakitkan hati. Situasi lebih parah sekiranya anda membawa bayi atau kanak-kanak ke dalam panggung. Mereka akan menangis, tantrum dan tidak duduk diam kerana bingit. Ini sangat menyakitkan hati saya, seorang peminat asli genre ini. Perbuatan ini merosakkan pengalaman menonton orang yang benar-benar berminat dengan filem ini dan menikmatinya dengan serius.


Plot cerita ini perlahan dengan masa tayangan hampir 3 jam lamanya! Masa yang panjang digunakan bagi merungkaikan plot yang rumit. Saya menjangkakan mungkin filem ini ada sambungannya nanti dan filem ini adalah sebagai asas penting bagi peminat untuk menikmati sambungan yang akan datang dengan lebih pemahaman terhadap konsep dan prinsip di dalam filem ini. Bagi bukan peminat pula, mungkin ini akan jadi filem Blade Runner terakhir mereka.


Kesimpulannya, hanya tonton filem ini sekiranya anda berminat dengan filem yang menyajikan plot yang panjang dan perlahan. Filem ini sesuai ditonton jika anda merupakan seorang penonton yang sabar. Sekiranya anda mengharapkan filem seperti Guardians of The Galaxy dan seangkatan dengannya, JANGAN TONTON FILEM INI. Ini kerana, anda hanya akan merosakkan pengalaman menonton orang lain. Anda akan tak henti-henti merungut, sentiasa memeriksa telefon anda, menyalakan lampu jam tangan anda dan setelah selesai menonton pula, anda akan mengutuk filem ini tanpa henti dan menggoyahkan minat orang yang benar-benar berminat dengan genre filem ini untuk menontonya.

Jadi, Blade Runner 2049, bukan filem aksi. Tetapi masterpiece hebat dan sangat cemerlang bagi genrenya.




Powered by Blogger.