Maaf sila aktifkan javascript.

Distro Linux Terbaik Untuk Pemula: Edisi 2017


Kami kerap menerima pm di page berkenaan dengan distro Linux yang mereka - para newbie ini mahu kami buat artikel mengenainya, iaitu Kali Linux. Saya pernah mencoret sedikit tentang distro tersebut di sini: Kali Linux: Bukan Sekadar 'Hack WiFi'.

Sudah berkali-kali diterangkan, bahawa Kali Linux pada saya meskipun ia berasaskan Debian, namun ia tidak sesuai untuk para pemula, untuk 'bermula' dengannya. Ia direka khusus untuk melakukan ujian kerentanan (penetretation test), dan kerentanan pula bukan semata-mata untuk anda belajar 'hack WiFi'!

Tolong buang pemikiran gaya budak-budak jika anda betul-betul hendak belajar menggunakan SISTEM OPERASI Linux. Linux (Gnu/Linux) bukan alat atau tools untuk anda bersuka-ria, bermain-main mencuba itu dan ini untuk godam WiFi jiran anda. Ia lebih dari itu!

Jika anda boleh tanamkan dalam fikiran bahawa anda ingin belajar lagi tentang Linux untuk menambah ilmu, dalam mengendalikan sistem operasi tersebut sama seperti bagaimana anda mengendalikan sistem operasi Windows, maka anda berada di hala tujuan yang betul.

Mari kita mulakan artikel kali ini dengan distro pertama.

Linux Mint


Linux Mint pada saya akan sentiasa menduduki carta nombor satu untuk para pemula. Ia ada segala-galanya. Dari aplikasi untuk multimedia (audio/video), perisian pejabat (kalau tak silap ianya masih Libre Office), codec yang lengkap tanpa perlu untuk anda pasang lagi, dan pelbagai lagi ciri yang memudahkan para pemula untuk terus menggunakannya.

Pendek kata ianya 'working out-of-the-box'.

Lawati dan muat turun: Linux Mint

Ubuntu MATE


Disebabkan kecelaruan pembangunan, saya tidak dapat mengesyorkan lagi Ubuntu kepada pengguna baru. Meskipun kini disokong oleh Google, kalau anda perasan, kebanyak blog yang menulis tentang Ubuntu (OMG! Ubuntu! contohnya) sudah tidak lagi dapat dengan kerap mengemaskini laman mereka untuk bercerita tentang Ubuntu.

Adakah kerana Ubuntu sudah cukup matang, tanpa ralat? Oh tidak. Saya tidak rasa begitu. Pada saya pembangunan adalah perlahan dan tiada ciri baharu lagi menarik yang boleh diceritakan.

Atas sebab itu saya memilih untuk mengesyorkan Ubuntu MATE - hanya kerana pembangunannya dirasakan lebih 'kukuh', kemas, dan 'padu' berbanding Ubuntu itu sendiri.

Ciri lain ialah MATE Desktop, yang pada saya adalah lebih menarik berbanding Gnome. Lain orang lain citarasanya, tetapi Gnome sekali pandang lebih memeningkan berbanding Unity, persekitaran meja yang telah digugurkan dari Ubuntu.

Apa pun, Ubuntu MATE memenuhi kehendak pengguna, dengan persekitaran meja yang stabil, pembangunan jitu, serta komuniti yang aktif.

Muat turun: Ubuntu MATE

Manjaro Linux


Manjaro pula pada saya adalah distro yang ditalakan khusus untuk para pemula dan juga pengguna termaju. Kenapa?

Ia menggunakan Arch Linux sebagai tapak kepada distro ini. Ia juga mengekalkan beberapa ciri Arch yang menjadi tunjang keistimewaannya seperti rolling release, bleeding edge softwares (perisian pinggiran berdarah?), prestasi terbaik, dan lain sebagainya.

Namun untuk memasangnya, ia menggunakan paparan antaramuka pengguna yang mudah, tidak seperti tapaknya sendiri (Arch) yang menggunakan baris perintah semata. Jika anda meminati Arch tetapi inginkan distro yang lebih mudah, Manjaro adalah pilihan yang tepat.

Muat turun Manjaro: Manjaro Linux

Deepin


Kenapa pilih Deepin? Selain ia berasaskan Ubuntu, Deepin Linux adalah sebuah distro yang sangat menarik perhatian, dek kerana persekitaran mejanya yang cantik.

Deepin mempunyai tetapan sendiri, serta beberapa aplikasi yang dibangunkan khas untuk sistem operasi ini.

'App Store' Deepin juga tidak menyerupai 'ibunya' (Ubuntu) dan pembangunan bagi distro ini adalah agak laju. Kemas kini sentiasa diperoleh setiap hari.

Muat turun: Deepin

Zorin OS


Untuk pengguna yang betul-betul baru melakukan transisi dari Windows kepada Linux, Zorin OS mungkin akan memudahkan perpindahan tersebut.

Tampilan persekitaran meja distro ini amat menyamai sistem operasi Windows 7, dan bagi peminat Windows 7 sudah tentunya tidak akan terasa 'asing' dengan persekitaran seperti ini.

Namun jika hendak dibandingkan antara keduanya, Zorin OS adalah jauh lebih pantas lagi, dan prestasinya meskipun anda tidak matikan atau mulai semula komputer tersebut, ianya tidak akan berkurangan atau menjadi perlahan seperti Windows.

Muat turun: Zorin OS

(Pilih Zorin OS Core dan masukkan jumlah '0' ke dalam kotak untuk muat turun secara percuma. Ketika artikel ini ditulis ianya adalah versi 12.2).

Baiklah, setakat ini sahaja artikel untuk distro Linux yang terbaik buat para pemula mempelajari selok-belok sistem operasi yang sangat menarik ini. Semoga anda menjadi lebih mahir dan kemudiannya lebih memahami bagaimana sistem Linux beroperasi.

P/s: Jika anda berminat dengan distro Linux yang 'ringan', mungkin artikel seterusnya akan membincangkan mengenai distro-distro tersebut.
Powered by Blogger.