Maaf sila aktifkan javascript.

Dual Scamera : Lensa Berkembar Palsu Pada Telefon Pintar


Kepesatan teknologi telah mendorong lebih banyak permintaan ke atas gajet dan telefon pintar. Dengan pertambahan permintaan, bertambahlah pengeluaran. Apabila permintaan melebihi pengeluar, maka pengeluar pula akan bertambah. Bagi pengeluar baru, sudah tentunya mereka akan mencuba sedaya upaya untuk kekal relevan dan menarik hati pengguna dalam perlumbaan teknologi dan produk para pengeluar "senior". Antara ciri-ciri khusus yang menjadi kegilaan dan trend di masa kini ialah DWIKAMERA.

Di penghujung tahun 2017 ini, para pengguna boleh bergembira kerana banyak peranti hadir dengan dwikamera. Lebih menggembirakan, peranti kelas pertengahan juga telah hadir dengan dwikamera malah boleh didapati dengan harga serendah RM1000! Bagi pengguna seperti saya dan rata-rata pembaca juga, ini sangat menggembirakan. Jika dulu, kita terpaksa berbelanja hampir RM2000++ untuk mendapatkan peranti idaman dengan dwikamera. Kini kita sudah mampu memiliki satu dengan harga yang lebih mesra pengguna.


Namun begitu, di sebalik kegemparan dan populariti dwikamera ini, adakah semua peranti murah ini mempunyai hasil yang sama dengan telefon pintar kelas atasan? Maksud hasil di sini bukanlah kualiti kamera dan imej yang dihasilkan, kerana jika saya ingin membandingkan peranti yang hadir bersama harga dan kelas pertangahan dengan peranti kelas atasan, ia kerja tidak masuk akal. Maksud hasil di sini ialah rekayasa penghasilan gambar dan kefungsian dwikamera itu sendiri.

Sebelum saya menerjah lebih jauh, mari kita pelajari apa itu dwikamera dan cara ia berfungsi. Dwikamera ialah binaan pada peranti dengan dua lensa kamera yang mana berbeza dengan binaan tradisional yang menggunakan hanya satu lensa. Dwikamera menawarkan hasil gambar potret yang lebih menarik dengan kesan bokeh. Bokeh ialah teknik foto yang memberi fokus kepada subjek dan memudarkan latar belakang untuk memberikan kesan yang lebih "timbul" kepada subjek utama di hadapan.

Binaan satu lensa tradisional

Binaan dwilensa terkini

Dulu, teknik bokeh cuma boleh dihasilkan oleh kamera DSLR dan oleh jurugambar profesional. Namun kini, dengan kemajuan teknologi, kepantasan cip pemprosesan mudah alih dan keupayaan bantuan sistem operasi mudah alih, segalanya mungkin dan jurang perbezaan di antara kamera DLSR dan kamera pada peranti mudah alih sudah semakin mengecil.

Beralih kepada topik taktik kotor pengeluar peranti mudah alih yang memasarkan peranti mereka dengan dwikamera. Setelah peranti ini sampai ke tangan pembeli masing-masing, ada di kalangan pengguna merasa sesuatu "tidak kena" dengan gambar yang dihasilkan oleh peranti masing-masing.
Perkongsian demi perkongsian dan perbincangan telah rancak dibuat di forum-forum seperti XDA, Reddit, Tumblr dan Google+ yang akhirnya menemui jawapan. DWIKAMERA PADA PERANTI MEREKA ADALAH PALSU! 


Hal ini dapat dikesan kerana kesan bokeh yang diambil dengan peranti mereka jauh tersasar dari jarak sebenar dengan subjek mereka. Kesan bokeh cumalah terhasil daripada bantuan janaan imej palsu. Ia sama seperti anda mengambil gambar biasa dan kemudian melakukan edit menggunakan aplikasi gambar. Bezanya, dengan peranti dwikamera palsu ini, edit ini berlaku seiring dan pada masa sebenar anda mengambil gambar. Kesan blur dibuat berdasarkan titik anda memilih fokus dan bukan berdasarkan persepsi jarak sebenar. Untuk memudahkan pemahaman, lihat contoh gambar bokeh palsu dan bokeh sebenar di bawah.



Perhatikan, dengan peranti dwikamera asli menghasilkan fokus dengan lebih baik, Imej subjek di depan latar belakang diberikan fokus secukupnya dan cuma latar belakang dipudarkan. Berbeza dengan dwikamera palsu, di mana subjek di hadapan juga turut sama dipudarkan.


Jadi, sebagai pengguna, bagaimanakah caranya untuk anda mengelakkan diri daripada ditipu dengan taktik pemasaran kotor ini? Rata-rata ahli forum telah bersetuju dengan satu kaedah untuk mengesan dwikamera palsu. Caranya cukup mudah. Anda hanya perlu menutup salah satu kamera dan cuba mengambil gambar potret. Bagi peranti dengan dwikamera asli, sistem akan memberi amaran untuk mengalihkan halangan daripada kamera kerana kamera telah gagal mengagak jarak subjek dan latar belakang menggunakan kedua-dua lensa kamera. Dengan dwikamera palsu, tiada amaran akan diberikan sekiranya anda menutup salah satu kamera dan imej bokeh tetap dapat dihasilkan. Ini kerana, seperti yang telah saya nyatakan di atas tadi, peranti dengan dwikamera palsu cuma menghasilkan imej bokeh dengan bantuan janaan imej, bukannya dengan hasil anggaran jarak sebenar menggunakan lensa jarak.

Namun begitu, ini sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada sistem operasi peranti. Mungkin di masa hadapan para pengeluar akan lebih bijak dalam menipu pengguna dengan melepaskan patch pada kemaskini sistem operasi telefon yang akan memberikan amaran pada pengguna setiap kali salah satu lensa dihalang walaupun dwikamera mereka palsu!



Kesimpulannya, sebelum membeli sebarang peranti baru, adalah lebih bijak sekiranya anda menunggu terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumbalas pengguna awal dan ujian rasmi dilakukan oleh para pengendali laman uji peranti.
Powered by Blogger.