Maaf sila aktifkan javascript.

Kanak-Kanak Indigo : Golongan Manusia Luar Biasa


Kita sering menonton filem-filem adiwira di kaca tv semasa membesar mahupun sesudah dewasa kini. Pastinya, pernah terdetik di hati anda, alangkah bagusnya sekiranya dunia ini ada adiwira sebenar dengan kebolehan luar biasa yang sebenar. Tidak kurang juga ada yang berkeinginan untuk memiliki kuasa istimewa mereka sendiri. Hari ini, saya akan menulis mengenai kewujudan satu golongan manusia yang mendakwa diri mereka sebagai golongan manusia yang telah berevolusi. Mereka ini dikenali sebagai MANUSIA INDIGO.

Sedikit pengenalan, manusia indigo ataupun kanak-kanak indigo ini juga turut dikenali sebagai KANAK-KANAK KRISTAL ataupun KANAK-KANAK BINTANG. Terma "Indigo Children" ini asalnya telah dicipta oleh Nancy Ann Tappe yang mendakwa dirinya seorang psikik dan parapsikologis pada tahun 1970. Beliau telah mengarang sebuah buku yang bertajuk Understanding Your Life Through Color pada tahun 1982 yang telah menerangkan mengenai konsep kanak-kanak indigo beliau.

Nancy Ann Tappe

Buku oleh Nancy Ann Tappe pada 1982

Kanak-kanak indigo lazimnya dikaitkan dengan keupayaan yang luar biasa seperti mempunyai kekuatan yang luar biasa, mempunyai kecerdikan genius semulajadi, dan juga memiliki kuasa mistik seperti kebolehan berkomunikasi dengan alam ghaib dan juga kuasa telekinesis.

Kanak-kanak indigo dikatakan boleh dikenalpasti melalui beberapa kriteria seperti :
1. Mempunyai keazaman, sifat empati dan perasaan ingin tahu yang tinggi.
2. Seringkali dianggap pelik oleh orang-orang sekeliling.
3. Memiliki matlamat dan definisi kehidupan yang sangat jelas di usia kecil.
4. Memiliki ketajaman deria rohani pada usia kanak-kanak.
5. Memiliki perasaan yang kuat bahawa mereka sangat layak untuk berada di sini.
6. Kemahiran IQ yang tinggi.
7. Daya intuisi yang tinggi.
8. Perasaan memberontak pada penguatkuasaan yang bersifat tidak fleksibel.

Asal-usul terma kanak-kanak indigo juga dikatakan berasal daripada ajaran Hindu yang telah membawa konsep chakra pada badan manusia. Chakra pada badan manusia dibahagikan kepada 7 bahagian dan berada pada tahap dan lokasi tertentu pada badan manusia. Chakra berwarna indigo ataupun dikenali juga sebagai "Chakra Mahkota" terletak pada bahagian teratas pada badan manusia iaitu pada ubun-ubun. Kanak-kanak indigo dikatakan dilahirkan dengan naungan dan bilangan chakra indigo yang banyak dan lebih berkembang daripada manusia biasa. Lantas mengurniakan mereka dengan kebolehan yang luar biasa.

7 warna chakra pada manusia

Menurut golongan yang mendokong pemahaman kanak-kanak indigo lagi, sebilangan besar kanak-kanak indigo telah disia-siakan oleh perubatan moden apabila telah silap didiagnos sebagai penyakit mental. Kanak-kanak indigo perlu diasuh dan diasah kemahiran mereka untuk menajamkan lagi deria mereka. Terapi tingkahlaku dan ubat-ubatan moden dikatakan telah melemahkan kuasa minda kanak-kanak ini apabila perubatan moden lebih mahukan kanak-kanak ini berkelakuan dan berfikir seperti kanak-kanak normal yang lain. Perubatan dan teori psikologi moden sekaligus telah menghapuskan potensi kanak-kanak indigo ini.

Namun begitu, tidak kurang juga yang tetap skeptik dengan konsep kanak-kanak indigo ini. Terutama sekali daripada golongan saintis dan pakar psikologi. Salah seorang daripada mereka ialah Robert Todd Carroll yang mengatakan bahawa, kebiasaannya ibu bapa yang melabel anak mereka sebagai kanak-kanak indigo cuba menyembunyikan realiti diagnos sebenar kanak-kanak ini yang berpunca daripada :

1. Asuhan ibu bapa yang salah.
2. Didikan daripada ibu bapa yang bercorak narsisis.
3. Kerosakan dan trauma.
4. Penyakit mental.

Robert Todd Carroll

Sesetengah pakar psikologi dan pakar kesihatan mental yang lain juga berpendapat, diagnos kanak-kanak indigo oleh ibu bapa sebenarnya banyak membawa kesan buruk kerana hanya akan melambatkan diagnos dan rawatan sebenar yang sepatutnya diterima oleh kanak-kanak ini.


Apa-apa pun pandangan pembaca, ketahuilah bahawa rahsia alam dan potensi manusia itu sangat luas dan tidak terbatas selagi diizinkan oleh maha pencipta. Adakah kanak-kanak indigo ini wujud? Ataupun sekadar delusi ibubapa yang terlalu terpukul dengan realiti?
Powered by Blogger.