Maaf sila aktifkan javascript.

Membaiki Grub Serta Melakukan Dual Boot Linux dan Windows Dengan Betul


Assalamualaikum, kembali lagi kita dalam siri tutorial Linux.

Hari ni kita akan mempelajari cara membaiki Grub, dan melakukan konfigurasi Dual Boot antara Windows dan Linux dengan baik.

Ramai yang menghadapi masalah grub samada tersalah kemaskini, tersalah konfigurasi, atau grub yang rosak dan putus asa dalam membaikinya kerana tidak memahami asas direktori dalam satu-satu sistem. Harini saya akan kupas sedikit dan menerangakan panduan bagaimana hendak membuat konfigurasi dengan betul supaya anda tidak perlu membuat menu secara manual bagi Windows - Linux Dual Boot atau merisikokan Grub anda rosak.

Perkara yang pertama ialah perlu difahami bagaimana Legacy atau UEFI berfungsi. Legacy ialah cara boot tradisional yang mana sistem dimulakan dengan membaca sektor pertama dari hardisk. Anda tidak perlu set apa-apa lekapan, pemasangan adalah lurus. Manakala UEFI pula sistem dimulakan dengan memuaturun fail program dari format .efi didalam partisi hardisk.

Komputer moden kebanyakannya menggunakan mod UEFI, lebih panjang dan lebih banyak ciri tambahan.

PRASYARAT 

Dapatkan medium Live ISO dan boot masuk kedalam Live. Anda bebas menggunakan Ubuntu, Fedora, CentOS, Arch Linux, atau mana-mana jenis Linux yang ada medium Live mengikut kemudahan kerana kita ingin chroot ke persekitaran dalaman bukannya persekitaran Live.

Kenalpasti partisi EFI terlebih dahulu sebelum memulakan pemasangan Grub.

Tips: Cari partisi yang berformat FAT32 bagi mendapatkan kepastian kedudukan EFI Windows


Bagi memudahkan pemahaman, contoh diatas adalah dari hardisk laptop saya yang mana partisi format FAT32 adalah partisi /dev/sda1 (WinDrv), bukannya /dev/sda3 (Windows).

Selalunya partisi EFI berada pada kedudukan pertama dalam susunan. Kemudian lekapkan titik partisi.

su -
mount /dev/mapper/camtono-root /mnt (atau mount /dev/camtono/root /mnt)
mount /dev/sda4 /mnt/boot
mount /dev/sda1 /mnt/boot/efi

ls /boot/efi


Gambar diatas ialah senarai direktori  /dev/sda1. Terdapat direktori EFI dan didalamnya terdapat direktori Microsoft. Hal ini tak semestinya sama bagi semua orang. Ini hanyalah cara mudah, ringkas, "idiot proof" yang paling mudah difahami.

WARNING: Jangan sesekali format partisi tersebut kerana ia akan menghapuskan Windows Boot.

Cara lekapan tersebut adalah berdasarkan LVM, jika anda menggunakan partisi tradisional, lekapkan saja partisi root anda seperti biasa, diikuti partisi boot jika ada, kemudian partisi EFI.

Sah, /dev/sda1 terdapat Windows EFI.

PEMASANGAN, PEMBAIKAN DAN PENGEMASKINIAN GRUB

Selalunya bila terdapat masalah pada Grub, kita akan kemaskini semula konfigurasi Grub atau memasang semula kemudian kemaskini Grub.

Pastikan semua titik partisi telah dilekapkan dengan betul seperti prasyarat diatas. Kemudian chroot dari Live kedalam persekitaran dalaman.

Fedora Live / Ubuntu Live

chroot /mnt

Arch Linux Live

arch-chroot /mnt

Kemudian pasangkan Grub dan kemaskini konfigurasi.

Fedora

grub2-install /dev/sda
grub2-mkconfig -o /boot/grub2/grub.cfg

Ubuntu 

grub-install /dev/sda
update-grub

Berbeza dengan distro lain, Arch Linux tidak memerlukan direktori /boot atau /boot/efi, jadi lekapan partisi EFI hanyalah bagi mencukupkan syarat untuk mencipta menu boot.

Arch Linux

grub-install /dev/sda 
atau
grub-install /dev/sda --efi-directory=/boot/efi

Anda tidak perlu lagi risau samada berjaya atau tidak Grub mengesan Windows anda sekiranya partisi EFI Windows anda dilekapkan dengan betul. Grub akan mencipta sendiri menu tersebut jika terdapat kehadiran Windows EFI boot didalam direktori tersebut.

Sebarang masalah atau pertanyaan bolehlah hubungi secara terus diFacebook atau diruangan komen portal dibawah.
Powered by Blogger.