Maaf sila aktifkan javascript.

Mengenali Logical Volume Management (LVM)



Mengenali Logical Volume Management (LVM) didalam Linux

Assalamualaikum warahmatullah.

Bertemu kembali kita dalam tutorial Linux. Hari ini saya akan menerangkan asas pembahagian ruangan storan Linux.

Dalam Linux terdapat satu framework pemetaan storan yang dikenali dengan nama Logical Volume Management atau disingkatkan dengan LVM. Konsep pemetaan LVM pada kernel Linux dilakukan dengan memetakan block device fizikal kepada block device maya. Tak faham? Dalam kata orang awam, LVM menjadikan hardisk anda kepada storan maya.

Jadi dalam artikel ini saya akan menjelaskan pengenalan umum konsep dasar yang mempunyai banyak manfaat berbanding partisi biasa. Sebelum mula, saya akan terangkan sedikit konsep asas supaya mudah difahami ketika membuat LVM nanti.

Struktur Logical Volume Management

LVM terdiri daripada 3 struktur.

1. Physical Volume (PV)
PV ialah ruang fizikal yang merupakan blok perkakasan seperti hardisk, iscsi, dan lain-lain yang bersifat ruangan storan sinonim dengan cakera. Setiap pecahan blok mampu dijadikan Physical Volume.

2. Volume Group (VG)
VG adalah gabungan dari beberapa PV diatas menjadi satu atau lebih VG. VG ini akan kita pecahkan kepada Logical Volume (LV) yang mana saiz kapasiti bergantung kepada jumlah keseluruhan VG.

3. Logical Volume (LV)
LV adalah pecahan maya yang dihasilkan daripada VG. Dengan terhasilnya LV, anda boleh setkan format partisi sistem fail perkakasan anda kepada ext4, xfs, ntfs, dan sebagainya mengikut keperluan.

Masih keliru? Lihat gambar penjelasan gambar dibawah.

Sumber Ihsan Google

(dari bawah ke atas) Anggapkan Physical Volume (PV) ialah hardisk anda. PV digabungkan menjadi satu Volume Group (VG) maya yang besar dan kemudiannya terhasil Logical Volume (LV) yang merupakan partisi yang akan digunakan untuk pemasangan Sistem Operasi atau ruangan simpanan dan lain-lain.

Kelebihan Menggunakan LVM


Jadi, apa bezanya LVM dengan partisi biasa? Bukankah sama saja pada akhirnya membentuk partisi juga? Sebenarnya berbeza tuan-tuan.

Antara kelebihan ketara yang ada pada LVM ialah:

1. Jika anda mempunyai lebih dari satu hardisk, LVM mampu menambahkan saiz ruangan lebih dari saiz satu hardisk: saiz tidak dihadkan pada satu hardisk tapi jumlah keseluruhan saiz.

2. Tidak perlu mematikan titik lekap (un-mount) terlebih dahulu jika melalukan perubahan saiz. Oleh itu, ia tidak mengganggu proses yang berjalan pada partisi tersebut. Berbeza dengan partisi yang tidak menggunakan LVM yang perlu kepada proses mematikan titik lekapan (umount) yang mana jika terdapat proses yang menggunakan partisi tersebut haruslah dimatikan terlebih dahulu. Kesan yang lain lihat poin 3.

3. Mengurangkan kesukaran sekiranya titik partisi berada pada blok yang berlainan. Contohnya kita telah pecahkan partisi normal kepada 6, sda1, sda2, sda3. sda4, sda5 dan sda6. Terdapat sistem windows sda1, simpanan windows sda2, linux sda3 dan swap sda4, storan linux pada sda5. Blok sda6 dan seterusnya tidak digunakan dan kita ingin bawa lebihan ruang tersebut menjadikan sda2 lebih besar. Untuk membawa blok tersebut kedepan, sistem haruslah mengubah blok sebelumnya dengan mengubah saiz partisi satu persatu terlebih dahulu bermula dengan sda5, sda4 dan seterusnya dan ini mengambil masa berjam-jam. Cara paling cepat adalah menghapuskan semua partisi tersebut termasuklah sistem linux. Jika menggunakan LVM, masalah ini tidak akan berlaku. Kita berupaya mengubah saiz mana-mana partisi tanpa melalui kesukaran diatas.

4. LVM mampu melakukan partisi yang lebih banyak yang mana terdapat had kepada partisi biasa.

5. Mampu membuat backup dengan menggunakan keupayaan Snapshot, ini adalah salah satu ciri unik yang hanya ada pada LVM. Snapshot berfungsi hampir dengan backup yang mana partisi LVM kita boleh bekukan dan kuncikan sehingga terdapat masalah atau kehilangan data, kita dapat kembalikan menggunakan snapshot terakhir sebelum berlakunya kejadian.

6. LVM mempunyai sokongan High Availability yang boleh bertindak sebagai ruang penyimpanan perkongsian contohnya model cluster yang memanfaatkan DRBD yang menghubungkan antara nod. Cluster ini bertindak tanpa perlu memaklumkan kernel mengenai partisi baru yang telah dibuat, dengan syarat LVM ini perlulah disetkan pada VG dan lumpuhkan LV terlebih dahulu.

Partisi Tradisional vs Partisi LVM

Partisi Tradisional
Sukar dipastikan dimana partisi Linux, dimana partisi Windows dan bagaimana untuk menggabungkan partisi.

Partisi LVM
Lebih mudah difahami kedudukan partisi, tujuan partisi, dan lebih mudah menguruskan partisi.

Dengan kelebihan yang diterangkan diatas, bergantung kepada tujuan yang kita ingin lakukan pada sistem kita, saya yakin ianya menjadi faktor penting samada pemasangan kita sistem kecil atau besar. Kedua-duanya mampu memanfaatkan kelebihan yang ada pada LVM.

Secara personal, saya lebih suka menggunakan LVM pada laptop saya :)

Nantikan tutorial seterusnya cara melakukan LVM pada partisi.

Powered by Blogger.