Maaf sila aktifkan javascript.

F-Droid Kini Berwajah Baru Dengan Versi 1.0


Kosa kata:
1) Aplikasi gudang = store application
2) Jalur = tab
3) Antaramuka = user interface/UI
4) Pelayaran = navigation
5) Palang pelayaran = navigation bar

Bagi pengguna sistem operasi Android, sudah tentu anda sudah biasa dengan aplikasi gudang aplikasi rasmi daripada Google iaitu Google Play Store. Bagi pengguna yang lebih mahir, aplikasi gudang aplikasi sumber terbuka, F-Droid juga pasti tidak asing lagi. Ia telah menjadi alternatif kepada Google Play Store sejak 7 tahun lalu. F-Droid telah menjadi pilihan ramai pengguna Android yang telah mendapatkan capaian root pada peranti mereka kerana ada di antara aplikasi yang dikehendaki mereka tidak tersedia di dalam Google Play Store, tetapi ada tersedia di dalam F-Droid.

F-Droid versi lama memang terkenal dengan antaramuka yang sangat ringkas, malah terlalu ringkas. Jauh berbeza dengan Google Play Store dan gudang aplikasi yang lain yang kebanyakannya telah beralih kepada Material Design atau Flat Design. Walaupun antaramuka tidak menjadi isu besar bagi pengguna F-Droid kerana rata-rata pengguna lebih mementingkan fungsi daripada estetika, ini agak membosankan bagi pengguna seperti saya yang lebih suka segalanya kelihatan cantik pada peranti saya. F-Droid lama ada menyediakan pilihan untuk menukar tema, tetapi sekadar terhad kepada tema gelap dan tema cerah sahaja.

Tema cerah pada F-Droid Beta

Tema gelap pada F-Droid Beta

Kini, setelah 7 tahun di dalam peringkat ujian, F-Droid akhirnya telah melancarkan F-Droid versi 1.0 secara rasmi pada tarikh keramat iaitu pada 10 Oktober 2017 (10.10.17). Kemaskini dan pelancaran rasmi ini menawarkan lebih daripada antaramuka yang lebih segar dan kontemporari. Selain daripada kemaskini antaramuka, F-Droid 1.0 juga membawakan pengkategorian aplikasi yang lebih teratur, dan jalur tambahan pada antaramuka. Pengenalan 2 jalur tambahan pada antaramuka tambahan ini memudahkan pelayaran pengguna ketika menggunakan aplikasi ini. Selain daripada itu, palang pelayaran juga telah dialihkan daripada kedudukan di bahagian atas kepada kedudukan di bahagian bawah skrin.






Di samping itu, penyemakan maklumat dan perincian aplikasi yang telah dipasang juga lebih mudah dengan penyusunan antaramuka baru yang boleh diakses dengan memilih pada Settings>My App>Manage Installed Apps. Fungsi lain yang menarik perhatian saya ialah fungsi Nearby yang membenarkan pengguna memasang aplikasi daripada pengguna lain yang turut sama menggunakan F-Droid. Ini sangat bermanfaat buat pengguna yang memiliki data internet yang terhad ataupun yang tidak mempunyai sambungan internet yang aktif.



Pilihan untuk kemaskini automatik juga telah dikemaskini di mana pengguna boleh memilih lebih banyak pilihan selang masa untuk F-Droid melakukan semakan dalam talian untuk mendapatkan kemaskini aplikasi yang telah dipasang. Pilihan yang disediakan adalah samada untuk setiap jam, setiap 4 jam, setiap 12 jam, setiap hari, setiap minggu ataupun setiap 2 minggu. Pengguna juga boleh memilih samada untuk membenarkan F-Droid memasang kemaskini pada aplikasi secara automatik setelah kemaskini tersedia, ataupun untuk memasangnya secara manual apabila mendapat pemberitahuan daripada F-Droid.


Dari segi estetika pula, F-Droid tidak ketinggalan dengan penawaran 3 tema warna untuk antaramuka keseluruhan. 3 pilihan yang disediakan adalah pilihan skim warna iaitu Light, Dark dan Night.


Tema Light


Tema Dark


Tema Night

Sekian sahaja daripada saya buat kali ini. Jangan lupa, Like, Comment dan Share artikel kali ini untuk lebih banyak artikel di masa akan datang.
Powered by Blogger.